
CEDERA: Pendaki cedera dibawa turun menggunakan pengusung oleh pasukan MOSAR ke Timpohon Gate.
RANAU: Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) berjaya memberikan bantuan kepada seorang pendaki lelaki yang mengalami kecederaan di bahagian buku lali semasa dalam perjalanan mendaki Gunung Kinabalu di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata kejadian jam 10.20 pagi itu membabitkan pendaki warga tempatan semasa berada di Kilometer 7.2 Gunung Kinabalu.
“Kejadian berlaku apabila pendaki berumur 35 tahun mengalami kecederaan bengkak di bahagian buku lali dan tidak dapat meneruskan perjalanan turun dari puncak.
“Pasukan MOSAR segera ke lokasi dan memberikan rawatan awal kepada mangsa dengan bantuan pihak Malim Gunung dan pihak Taman-Taman Sabah (TTS),” katanya.
Beliau berkata mangsa diangkat menggunakan kaedah ‘piggyback carry’ sebelum dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung.
Katanya mangsa kemudiannya diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Ranau bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
Katanya operasi keseluruhan ditamatkan jam 3.02 petang.
https://www.utusanborneo.com.my/2022/09/16/lelaki-cedera-di-buku-lali-semasa-daki-gunung-kinabalu |