CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 430|Reply: 0

[Terengganu] Lepas dunia kejar abadi

[Copy link]
Post time 17-9-2022 02:35 PM | Show all posts |Read mode

DARI kiri, Johari, Siti Khalijah, Nur Ashikin dan Sulaiman.

Kuala Berang: Ketika kebanyakan rakan-rakan sebaya lain berusaha membina kerjaya, pasangan muda ini ibarat melepaskan 'dunia' apabila memilih menjadi penghuni di Madrasah Addiniah Azzakiah di Kampung Lubuk Periuk di sini, untuk mendalami ilmu agama.

Sulaiman Osman, 36, yang berasal dari Kuala Lumpur dan isteri, Nur Ashikin Surajuddi, 26, bersama enam anak mereka berusia satu hingga lapan tahun kini menjadi penghuni tetap madrasah berkenaan.

Malah, Sulaiman dan isterinya yang berasal dari Baling, Kedah menganggap madrasah berkenaan sebagai 'rumah' mereka dan mahu menjadi penghuni buat selama-lamanya sehingga dijemput Ilahi.


Menurut Sulaiman, dia sebelum ini menuntut ilmu di sebuah madrasah di Pengkalan Hulu, Perak yang membawa kepada perkenalan dengan isterinya pada 2012 sebelum mereka berkahwin setahun kemudian.

"Kami kemudian bersama-sama belajar di (Pondok Pak Teh) Pengkalan Hulu, Perak dan kebetulan tok guru yang juga pemilik madrasah (Zaki Masur) menyatakan hasrat mahu pulang ke kampung halamannya di Hulu Terengganu, Terengganu untuk membuka madrasah.

"Saya rapat dengannya dan selepas berbincang, saya bersama isteri mengambil keputusan mengikutnya pulang ke Terengganu demi mendalami ilmu agama.

"Ketika itu, saya bukan tidak fikir soal kewangan dan sebagainya apatah lagi boleh dikatakan baharu sahaja mendirikan rumah tangga, tetapi saya percaya rezeki ada di mana-mana dan mujurlah, isteri bersetuju apabila saya menyatakan hasrat mahu ke Terengganu," katanya.

Sulaiman berkata, dia nekad membuat keputusan tinggal di madrasah bagi mendalami ilmu agama dan mencari 'saham' akhirat selain mahu anak-anaknya membesar dalam persekitaran yang mempunyai aura keagamaan.

"Bukan saya nak kata di luar sana tidak bagus, tetapi saya tidak mahu anak-anak menjadi seperti saya di waktu muda kerana saya percaya sedikit-sebanyak aura positif yang ada di sini (madrasah) boleh mempengaruhi mereka.

"Empat anak saya sudah bersekolah termasuk dua di tadika dan mereka ke sekolah seperti biasa. Mereka juga sudah faham madrasah ini diibaratkan rumah atau kampung mereka," katanya yang turut menjadi tenaga pengajar dan imam di madrasah berkenaan.

Menurutnya, dia tidak dibayar gaji atau elaun, sebaliknya bergantung kepada wang diberi pemilik madrasah yang dipanggil tok guru, selain segala penginapan dan makan minum ditanggung o pengurusan madrasah.

"Tiada bayaran dan tok guru mengajar kita pun tak minta apa-apa, jadi apa saya lakukan ini hanya kerana Allah SWT dan sebagai tanda terima kasih terhadap ilmu diberi.

"Kebiasaannya tok guru bagi sedikit wang belanja dan kalau ada RM10 pun, sudah cukup di sini dan saya percaya rezeki Allah SWT luas dan bukan daripada sudut kewangan semata-mata.

"Tok guru banyak turunkan ilmu kepada saya dan ini cara saya membantunya dengan menjadi sebahagian tenaga pengajar," katanya yang mengajar pelbagai subjek termasuk nahu, feqah dan tafsir al-Quran.

Katanya, beberapa rakan pernah mencadangkannya keluar dan menjalankan perniagaan termasuk menjadi pengajar yang pasti menjanjikan pendapatan tetap, tetapi dia memilih terus berada di madrasah.

"Bukan saya tak pandang duit kerana sekarang ini semua benda perlukan duit, tetapi hati saya mahu besarkan anak dalam suasana pondok dan kami selesa di sini," katanya.

Sementara itu, bagi Nur Ashikin, sebagai isteri, tempatnya di sisi suami dan menyokong keputusan lelaki berkenaan yang mahu berhijrah.

"Kehidupan di sini sederhana, tetapi ia menenangkan dan kami di sini sudah diibaratkan sebagai satu keluarga yang besar.

"Saya tidak diwajibkan mengikuti kelas seperti pelajar lain (lelaki) tetapi walaupun tidak ke sana, berada di rumah sahaja sudah tenang kerana sentiasa dengar penghuni lain mengaji atau menghafaz al-Quran," katanya.

Bekalan akhirat diutama di hujung usia

"Pada usia ini, tiada apa lagi yang mahu dikejarkan, selain menambah bekalan untuk akhirat," kata Johari Mohd Arif, 60.

Johari bersama isterinya, Siti Khalijah Hashim, 56, antara pasangan yang memilih menjadi penghuni di Madrasah Addiniah Azzakiah di sini.

Pasangan yang berasal dari Kedah berkenaan berhijrah ke Terengganu pada 1994 untuk mencari rezeki dan melakukan pelbagai pekerjaan termasuk pernah mengusahakan kedai runcit.

Menurut Johari, dia sebelum ini bekerja sebagai tukang cuci di Kuala Terengganu manakala isterinya tidak bekerja dan mengambil keputusan berpindah di Felda Mengkawang, Hulu Terengganu pada 2002 selepas berhenti kerja.

"Selepas berpindah ke sini, kami ada buka kedai runcit namun perniagaan tidak menjadi seolah-olah ada yang kurang sebelum kami menutup kedai.

"Tidak lama kemudian, saya dan isteri pulang ke Kedah menjaga ibu mentua yang sakit pada 2019 dan ketika di Kedah, wabak Covid-19 melanda negara.

"Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan saya tidak dapat pulang ke Terengganu sebelum saya dan isteri kembali ke sini selepas ibu mentua meninggal dunia," katanya.

Bapa empat anak berusia 17 hingga 28 itu berkata, dia tahu mengenai kewujudan madrasah itu yang mula beroperasi sejak 2015.

Katanya, dia yang mengenali tok guru yang juga pengasas madrasah, Zaki Masur mengikuti pengajian agama di madrasah berkenaan namun tidak dibuat bersungguh-sungguh.

"Nak kata baharu tinggal di sini tak juga sebab memang selalu datang...cuma mungkin sebelum ini tidak berapa serius.

"Apabila balik ke sini, saya berfikir dan cuba muhasabah diri untuk memikirkan hala tuju kehidupan kami," katanya.

Ketika ditanya perbezaan kehidupannya, Johari berkata, dia rasa tenang apabila menjadi sebahagian daripada penghuni madrasah berkenaan.

"Di sini, pihak madrasah iaitu tok guru ada siapkan rumah untuk pasangan berkahwin dan rutin saya sama seperti pelajar lain yang muda iaitu mengikuti kelas disediakan," katanya.

Katanya, buat masa ini, dia bersama isterinya tidak terfikir kembali ke Kedah, sebaliknya lebih selesa berada di madrasah itu.

"Bukan tidak balik ke sana (Kedah) kerana ahli keluarga masih ada, tetapi buat masa ini kami selesa di sini dan anak-anak pun memahami.

"Kami ada empat anak dengan dua daripadanya sudah berkahwin dan kalau cuti mereka memang akan ke sini," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... s-dunia-kejar-abadi
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-1-2025 07:23 PM GMT+8 , Processed in 0.045326 second(s), 10 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list