|
Ahmad Tarmizi (kanan) bersama isterinya melihat pisang seribu yang ditanam di hadapan rumahnya di Taman Damar, Gua Musang, Kelantan. STR /CHUCK Paya Linda Yahya
GUA MUSANG: Pokok pisang seribu kini menjadi buruan peminat pokok hiasan eksotik kerana keunikan setandan pisang ada sehingga lebih 1,000 biji dengan panjangnya mencecah tanah manakala buah di hujung tandan semakin mengecil umpama jari kelingking.
Pemiliknya, Tarmizi Dollah Ahmad, 55, berkata, benih pokok pisang seribu kini mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan mereka yang minat dengan tanam eksotik itu.
"Pokok pisang seribu ini mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.
"Sejak menanam pokok pisang seribu bermula November tahun lalu, saya sudah beberapa kali menjual benihnya kepada pembeli dengan harga RM25 sepokok.
"Pokok pisang ini yang mampu menjangkau sepanjang 3.4 meter ini turut menjadi tarikan tetamu yang datang berkunjung," katanya ketika ditemui di rumahnya.
Selain pokok pisang seribu, Tarmizi turut menanam kira-kira 30 jenis tanaman eksotik dan herba antaranya tebu pelangi, tebu gading, kunyit bunian, jambu strawberi, kantan malerus, pokok matoa, delima bonsai, kemoyang merah, ubi betik atau pokok cahaya.
Ahmad Termizi berkata, dia mula meminati tanaman eksotik dan herba sejak kecil dan tidak menyangka ramai yang berminat untuk membeli.
"Apabila saya siarkan gambar pokok yang ditanam dalam media sosial ramai yang mesej berminat untuk beli benih.
"Alhamdulillah minat saya ini sedikit sebanyak dapat dijadikan pendapatan sampingan buat kami sekeluarga," katanya yang juga pesara anggota tentera.
Sementara itu, isterinya, Mahzan Che Husin, 45, berkata, dia tidak menyangka hobi suami ini akan boleh dijadikan pendapat sampingan selain untuk mengisi masa lapang.
"Saya sentiasa menyokong minatnya dalam bidang ini dan kami sekarang sedang mengusahakan tanaman tebu berhampiran rumah," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... minat-pokok-eksotik |
|