
MULA…Para peserta bersedia untuk memulakan larian dalam acara pertama 42 km di garisan pemula Padang Merdeka
KUCHING: Kira-kira 10,000 peserta daripada 10 negara hadir menyertai kejohanan Kuching Marathon tahun 2022 yang berlangsung di dataran Padang Merdeka, seawal jam 1 pagi tadi (2 Oktober).
Kemunculan semula acara antarabangsa di Kuching itu selepas lebih dua tahun menyepi akibat pandemik Covid-19 masih mendapat sambutan memberangsangkan daripada masyarakat sama ada dari dalam mahupun luar Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah penyertaan anjuran temasya tersebut kali ini tampil menunjukkan peningkatan dengan merekodkan seramai 713 orang peserta dari luar negara secara keseluruhan.
Antaranya, Australia ada tujuh, Brunei 170, China 14, Filipina tujuh, Jerman seorang, Hong Kong enam, India dua, Indonesia 321, daripada Jepun ada enam, Kenya ada 12, New Zealand satu, Nigeria ada satu.
“Selain itu, Singapura ada 109, Taiwan dua, Thailand dua, United Kingdom 13, United States ada empat dan negeri-negeri lain tidak dinyatakan ada 35 peserta.
“Kita memahami selepas dua tahun Marathon ini tidak diadakan bahkan di mana-mana di dunia pun Marathon tergendala. Jadi kita cukup gembira dengan jumlah penyertaan aktiviti ‘New Comeback’ ini.
LARI…Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (tujuh dari kiri) bersama Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Hui Kian (enam kiri) mengetuai penekanan hon udara sebagai simbol pelepasan acara 42km Kuching Maraton 2022
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan pelepasan ‘flag off’ acara utama iaitu Marathon antarabangsa 42 Km di pekarangan Padang Merdeka, di sini, semalam.
Jelas Karim, penganjuran semula Kuching Marathon 2022 berjaya memberi kesan positif terhadap perkembangan sektor pelancongan di sekitar Kuching selaku tuan rumah.
“Kedatangan ramai daripada peserta luar negara ke kejohanan ini cukup membanggakan.
“Banyak hotel-hotel di bandaraya Kuching khususnya hotel bajet telah penuh susulan daripada penganjuran Marathon Kuching 2022,” katanya.
Turut hadir ketika majlis pelancaran, Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Hui Kian, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng, dan Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU) Datuk Junaidi Reduan.
Kuching Marathon 2022 menghimpunkan empat kategori iaitu 42 Km, 21km, 10km, dan 5km.
Pelancaran acara pertama iaitu 42km dimulakan dengan pelepasan kira-kira 2,000 peserta.
https://sarawakvoice.com/2022/10/02/10000-pelari-sertai-kuching-marathon-2022/ |