View: 401|Reply: 0
|
[Kelantan]
'Jangan sentuh isu politik kepartian dalam khutbah Jumaat'
[Copy link]
|
|
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary pada sidang media ketika hadir Majlis Perasmian Program Hari Sayyidatina Khadijah Peringkat Parlimen Pengkalan Chepa di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK), Kota Bharu hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
KOTA BHARU: Khatib tidak dibenarkan menyentuh isu politik yang berpihak kepada mana-mana parti dalam khutbah Jumaat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Beliau berkata kempen politik juga tidak sepatutnya terkandung dalam khutbah, sebaliknya hanya menyentuh isu kepentingan awam atau perkara berkaitan dengan pentadbiran negara.
"Jika isu membabitkan politik yang berpihak kepada kepartian parti tertentu ia tidak sepatutnya berlaku dalam khutbah Jumaat.
"Tetapi kalau isu membabitkan kepentingan awam yang menyentuh soal peristiwa atau perkara berkaitan dengan pentadbiran negara tanpa kaitan dengan politik ia tidak menjadi masalah.
"Kerana khutbah Jumaat ini adalah untuk merungkaikan soalan yang berbangkit dalam masyarakat kita. Tetapi (khutbah) kalau digunakan untuk tujuan kempen parti tertentu yang tidak ada maslahah umum, ia tidak dibenarkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Hari Sayyidatina Khadijah Peringkat Parlimen Pengkalan Chepa di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK) di sini, hari ini.
Sebelum ini orang awam mempertikai ada masjid yang memasukkan isu politik dalam khutbah Jumaat yang kemudiannya ditularkan di Twitter.
Ditanya tindakan yang akan dikenakan kepada mereka yang berkempen politik dalam khutbah Jumaat, Ahmad Marzuk berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada pentadbiran agama negeri masing-masing.
"Mereka (pihak agama negeri) boleh meneliti perkara ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan hujung tahun ini memandangkan beberapa negeri terutama Pantai Timur sering dilanda banjir.
"Kita tahu bahawa kebanyakan negeri akan berdepan kemungkinan berlaku banjir dan sebaiknya kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan dikerahkan untuk membantu mangsa banjir.
"Untuk mengadakan pilihan raya pada hujung tahun ini, secara peribadi tidak sesuai dan sepatutnya kita menumpukan soal kebajikan rakyat," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... alam-khutbah-jumaat |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|