
REMUK: Bahagian hadapan kereta dinaiki kedua-dua mangsa yang remuk teruk di bahagian hadapan sejurus bertembung dengan sebuah 4WD dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Bintulu-Bakun petang semalam. - Gambar ihsan BBP Bintulu
BINTULU: Seorang remaja lelaki maut apabila kereta yang dinaikinya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda (4WD) di Batu 20, Jalan Bintulu-Bakun sekitar jam 3.26 petang Ahad
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu Wan Kamarudin Wan Ahmad dalam kenyataan semalam, berkata, mangsa yang maut di lokasi kejadian dikenali sebagai Melvin David Ding Thomas berumur 17 tahun.
"Pemandu kereta yang merupakan wanita berumur 41 tahun bagaimana hanya mengalami kecederaan ringan," jelas beliau.
Katanya, pemandu 4WD berkenaan yang merupakan seorang lelaki berumur 57 tahun turut dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Menurut beliau, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu bergerak ke lokasi insiden sejurus menerima makluman berhubung kemalangan bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa.
Sampai di lokasi kejadian ujar Wan Kamarudin, pasukan bomba mendapati kesemua mangsa sudah berjaya dikeluarkan yang mana dua daripadanya dihantar ke Klinik Kesihatan Sungai Asap bagi diberikan rawatan awal.
"Mangsa yang meninggal kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya," jelas beliau.
Bagi keselamatan pengguna jalan yang lain, pasukan bomba katanya bertindak mengalihkan kereta dinaiki mangsa ke tepi jalan.
Setelah keadaan didapati benar-benar selamat, pasukan bomba bertolak balik semula ke balai pada jam 5.57 petang.
https://www.utusanborneo.com.my/2022/10/03/remaja-lelaki-maut-kereta-dinaiki-bertembung-4wd |