|
SERBUAN dibuat di Batu 17, Ladang Kumpulan Melayu, Tunjuk Laut, Kuala Sedili. FOTO IHSAN PDRM
Kota Tinggi: Seramai 43 lelaki termasuk 16 warga asing ditahan selepas disyaki terbabit dengan aktiviti sabung ayam, semalam.
Mereka yang berusia antara 22 hingga 60 tahun itu ditahan di Batu 17, Ladang Kumpulan Melayu, Tunjuk Laut, Kuala Sedili di sini pada 4.15 petang.
Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, IPD Iskandar Puteri, IPD Johor Bahru Selatan serta IPD Pontian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, ketika serbuan, 27 lelaki tempatan dan 16 warga asing sedang berjudi sabung ayam.
"Dua lelaki tempatan cuba melarikan diri ketika serbuan, namun berjaya ditahan.
"Hasil operasi, kita merampas 13 ayam laga, sangkar ayam dan beberapa peralatan judi sabung ayam serta wang tunai berjumlah RM8,192," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 32(1) (a) & 32 (2)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan, manakala warga asing turut disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
"Permohonan reman akan dibuat hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya yang mengingatkan orang ramai agar tidak terbabit aktiviti perjudian sebegitu.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ka-judi-sabung-ayam |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|