
Pasukan bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki warga Indonesia dikhuatiri dibaham buaya di Sungai Merapok, Lawas hari ini.
MIRI: Seorang lelaki warga Indonesia dikhuatiri dibaham buaya ketika melakukan aktiviti memancing di Sungai Merapok, Blok C, Ladang Sawit Kuala Lawas pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa dikenali sebagai Juma Misi berusia 30 tahun.
“Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas kira-kira jam 8.57 pagi memaklumkan kejadian mangsa dibaham buaya.
“Sepasukan enam anggota BBP Lawas diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mazrom Ampahon bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima makluman tersebut.
“Menurut maklumat diperolehi, mangsa disambar buaya ketika memancing,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
PGO memberitahu bahawa pencarian dilakukan di sekitar kawasan mangsa dipercayai disambar buaya menggunakan sebuah bot penyelamat.
https://www.utusanborneo.com.my/2022/10/09/lelaki-warga-indonesia-dikhuatiri-dibaham-buaya |