View: 394|Reply: 0
|
[Negeri Sembilan]
JPS Negeri Sembilan sedia 22 stesen siren amaran banjir
[Copy link]
|
|
Aminuddin Harun
Seremban: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan sudah menyediakan 22 stesen siren amaran banjir dan 10 kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah menangani risiko kejadian banjir di negeri itu.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, turut disediakan ialah 64 stesen hujan telemetri dan 16 stesen air telemetri.
Menurutnya, kesemua stesen dan peralatan berkenaan dihubungkan dengan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negeri (PRABN) di sini.
"Data yang diperolehi oleh PRABN akan membolehkan JPS Negeri Sembilan melakukan ramalan serta memberikan ramalan awal sekiranya terdapat risiko berlakunya banjir.
"Berdasarkan kaji cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan jumlah taburan hujan yang tinggi dalam tempoh terdekat sehingga akhir tahun ini sekali gus akan meningkatkan risiko kejadian banjir di negeri ini terutama di kawasan yang rendah.
"Justeru itu, kerajaan negeri menerusi JPS Negeri Sembilan membuat persiapan rapi melalui kemudahan stesen dan peralatan berkenaan sebagai langkah awal sekiranya berlaku banjir," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Awal bulan lalu, MetMalaysia dalam satu kenyataan meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.
Sementara itu, Pengarah JPS Negeri Sembilan Saari Abdullah berkata, pihaknya akan memastikan kesemua kemudahan stesen hujan dan stesen paras air berfungsi dengan baik terutamanya di 81 lokasi tumpuan kawasan banjir.
Beliau berkata, pihaknya memberi keutamaan kepada kawasan yang berpotensi berlakunya kejadian banjir secara berulang.
"Pemantauan rapi dibuat di kawasan tertentu yang terdedah kepada kejadian banjir terutama jika membabitkan tebing runtuh, jambatan roboh dan saluran paip cetek.
"Walaupun aktiviti penyelenggaraan sungai sudah dilakukan namun sebarang kemungkinan banjir boleh berlaku jika taburan hujan yang tinggi," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... siren-amaran-banjir |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|