
BINTULU: Polis sedang mencari seorang lelaki bagi membantu siasatan kes rusuhan dan khianat yang didakwa berlaku di Jalan Abang Galau, di sini malam semalam.
Ini susulan klip video berdurasi 12 saat yang tular di media sosial malam tadi yang menunjukkan sebuah pacuan empat roda dipandu dalam keadaan terbalik dan kemudian merempuh kenderaan lain.
Ketua Polis Bintulu Superintendent Bartholomew Umpit berkata lelaki itu dikenal pasti sebagai Rimong Judan, 36, yang beralamat terakhir di Bandar Jaya, Jalan Tun Hussien Onn di sini.
Superintendent Bartholomew Umpit
“Satu laporan polis berhubung kejadian itu telah diterima malam tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai lelaki ini diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Lai Mei Ching di talian 014-8763824 atau bilik gerakan kami di talian 086-318304,” katanya.
Dalam klip video itu, beberapa lelaki turut dilihat berlari ke arah kenderaan itu dan seorang daripada lelaki itu dikesan mempunyai kesan darah pada kemeja-T miliknya.
|