
Laluan runtuh akibat hujan lebat berlaku semalam.
MIRI: Pengguna jalan raya dinasihati mengelak menggunakan laluan di Jalan Kepajil/Beraya di Bakam sementara menunggu kerja-kerja pembaikan berikutan jalan terbabit runtuh selepas hujan lebat semalam.
Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri Stephen Ung berkata pihaknya berbincang dengan kontraktor bagi mengalihkan sisa-sisa tanah runtuh terlebih dahulu sebelum membina lencongan jalan sementara.
“Kami menyasarkan menyiapkannya dalam masa seminggu (bermula hari ini) jika cuaca mengizinkan berikutan banyak kerja pemindahan dan pengisian tanah dilakukan.
“Kita juga mahu menasihati pengguna jalan raya mengelak menggunakan laluan itu sementara menunggu kerja-kerja pembaikan siap pada minggu akan datang dan segala usaha dilakukan bagi mempercepat kerja-kerja dan membuka jalan bagi kemudahan pengguna jalan raya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ung berkata, pada masa ini dua penghadang jalan dipasang di tapak terjejas atas faktor keselamatan pengguna jalan raya.
Terdahulu, beliau bersama Pembantu Jurutera JKR Bahagian Miri Chai Chung Eng dan kontraktor terlibat meninjau keadaan di tapak runtuhan itu.
Dalam pada itu, benteng penghadang juga dipasang di kedua-dua hujung jalan bagi mengelak sebarang kenderaan menghampiri jalan raya runtuh itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni ketika dihubungi berkata Pusat Bencana Daerah Subis menerima laporan itu dan tindakan susulan mengarahkan JKR menjalankan kerja-kerja pembaikan runtuhan sepanjang 80 meter itu dengan segera.
Susulan kejadian itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut mengerahkan sepasukan anggota Balai Pusat Miri untuk memantau keadaan.
Pemangku Ketua Bomba Miri Ahmad Nizam Sapaiee berkata penghadang juga dipasang di kawasan terjejas sepanjang jalan pantai oleh kakitangan jabatan itu malam kelmarin.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
|