CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 432|Reply: 0

[Johor] Siti Hanisah cari ibu kandung

[Copy link]
Post time 11-10-2022 11:20 AM | Show all posts |Read mode

ZALEHA IBRAHIM bersama-sama anak angkatnya, Siti Hanisah menunjukkan salinan surat beranak di rumahnya di Lorong Yunos, Kampun Dalam, Pontian.

    Oleh MUHAMMAD ZIKRI
    11 Oktober 2022, 7:40 am

PONTIAN: Seorang ibu tunggal, Zaleha Ibrahim, 70, meminta bantuan orang ramai mengesan ibu kandung kepada seorang remaja yang dipelihara sejak tahun 2007.

Siti Hanisah Abdullah yang kini berusia 15 tahun memerlukan surat pengesahan daripada ibu kandungnya bagi membolehkan dia diambil sebagai anak angkat yang sah oleh Zaleha.

Menurut Zaleha, ibu kandung Siti Hanisah, Rita Harlina Syamawan menyerahkan anaknya untuk dipelihara ketika bayi itu berusia tiga bulan dan selepas itu wanita tersebut gagal dikesan hingga kini.

Dia yang sebelum ini tinggal di Taman Pulai Utama Johor Bahru mengambil upah menjaga bayi dan kanak-kanak termasuk Siti Hanisah yang dihantar oleh ibunya dengan upah sebanyak RM200 sebulan.

“Selepas tiga bulan menjaga Siti Hanisah, Rita Harlina telah menghilangkan diri tanpa diketahui ke mana pergi dengan meninggalkan bayinya dalam jagaan saya hingga membesar.

“Ketika Siti Hanisah berusia 12 tahun, saya dan arwah suami (Adnan Borhan) cuba mencari ibu kandungnya di Johor Bahru bagi tujuan membuat kad pengenalan, tetapi tidak ditemui,” katanya ditemui di rumahnya di Lorong Yunos. Kampung Dalam di sini.

Zaleha mencari Rita Harlina bagi memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM ) bagi mengambil Siti Hanisah sebagai anak angkat secara sah.

“Mak cik ini dah tua, sebelum ini urusan dilakukan bersama arwah suami, tetapi setelah dia meninggal dunia enam bulan lalu kini saya yang menguruskan soal dokumen Siti Hanisah,” ujarnya.

Zaleha berkata, memandangkan Siti Hanisah tiada mempunyai dokumen pengenalan diri, dia tidak bersekolah dan hanya mampu belajar secara ‘menumpang’ dengan guru yang datang ke rumah.

Dia mempunyai empat anak lelaki dan kehadiran Siti Hanisah telah menunaikan impiannya untuk memiliki seorang anak perempuan walaupun hanya sebagai anak angkat.

“Memandangkan dia telah kami pelihara sejak bayi, kasih sayang yang diberikan seperti anak sendiri begitu dengan abang-abang angkat yang telah menganggap sebagai adik sendiri,” tambahnya.

Orang ramai yang mengetahui di mana Rita Harlina berada boleh menghubungi Zaleha menerusi talian 019-5457584 atau Siti Hanisah 016-9695021 atau ke kediaman mereka No 43D, Lorong Yunos Kampung Dalam, Pontian. –UTUSAN
https://www.utusan.com.my/berita ... h-cari-ibu-kandung/
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-12-2024 05:38 PM GMT+8 , Processed in 0.047335 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list