BINTULU: Kesemua 17 suspek yang terlibat dalam insiden pergaduhan di sebuah pusat hiburan di kawasan Jalan Abang Galau pada malam Ahad lalu sudah ditahan dan akan dikenakan tahanan reman bagi membantu siasatan, kata Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Batholomew Umpit.
Menurutnya, kesemua suspek yang merupakan lelaki warga tempatan berumur antara 21 hingga 38 tahun itu kini dikenakan tahanan reman yang mana 16 suspek yang dikenakan tahanan reman sejak dua hari lepas disambung semula semalam bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK).
"Dalam perkembangan sama, seorang lagi suspek yang ditangkap semalam sudah dimohon tahanan reman di Mahkamah Bintulu pada pagi tadi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 KK," ujar beliau dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Hasil semakan yang dijalankan katanya, mendapati empat daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 186 KK, Seksyen 148 KK, Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 506 KK dan 148 KK.
Batholomew berkata, tangkapan yang dijalankan turut melibatkan seorang lelaki yang memandu trak pikap secara berbahaya dan melanggar beberapa buah kenderaan awam yang mana rakaman video insiden ini telah tular di media sosial, baru-baru ini.
Mengulas mengenai kronologi kes, beliau berkata, pada 12.30 tengah malam Ahad lepas, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu telah menerima maklumat bahawa berlakunya pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Jalan Abang Galau Piper 99.
Katanya, sebaik menerima maklumat berhubung insiden berkenaan, pasukan polis yang sedang bertugas bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati beberapa kenderaan yang diparkir di hadapan pusat hiburan tersebut remuk akibat dirempuh.
"Maklumat yang diterima daripada saksi mengatakan mereka melihat sekumpulan lelaki bergaduh sesama sendiri dengan menggunakan kerusi dalam pusat hiburan tersebut dan berlarutan sehingga keluar premis walaupun usaha meleraikan pergaduhan itu telah dilakukan petugas keselamatan pusat hiburan," ujar beliau.
Insiden ini katanya, turut mengakibatkan pengusaha pusat hiburan itu mengalami kerugian akibat berlakunya kerosakan peralatan dalam premis.