View: 330|Reply: 0
|
[Johor]
Ada pegawai imigresen 'bantu' sindiket penyeludupan Pati
[Copy link]
|
|
Johor Bahru: Tindakan dua lelaki tempatan membawa masuk 12 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang rata-ratanya disenaraikan sebagai orang syak dan dilarang masuk ke Malaysia, akhirnya berjaya ditahan Jabatan Imigresen Malaysia Johor.
Lelaki yang bertindak sebagai 'transporter' berusia 24 dan 52 tahun itu ditahan jam 7.20 pagi tadi di laluan masuk kenderaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.
Turut ditahan 12 warga Indonesia terdiri daripada sembilan lelaki dan tiga wanita berusia antara 20-an hingga 40-an dengan 10 daripadanya berada dalam senarai syak dan dilarang memasuki Malaysia atas pelbagai kesalahan.
Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, hasil siasatan awal, pihaknya percaya tindakan dua 'transporter' melepasi laluan masuk kenderaan tanpa cop imigresen kerana 'dibantu' pegawai imigresen yang bertugas di kaunter.
"Pada peringkat awal, mereka ditahan oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk pemeriksaan barang dan dalam operasi biasa, pihak JKDM akan melihat pasport dan dalam kes ini tiada cop imigresen pada pasport mereka.
"Pihak JKDM kemudian berhubung dengan kami dan sekumpulan pegawai penguat kuasa di BSI pergi ke kenderaan itu dan dengan jelas semua pasport mereka tiada cop imigresen.
"Kita syak ini adalah modus operandi sindiket dan saya tidak nafikan kemungkinan terdapat pegawai imigresen sendiri yang terbabit," katanya ketika sidang media di Pejabat Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.
Menurutnya, semua Pati itu dibawa masuk ke Malaysia dari Singapura dalam dua kenderaan iaitu Perodua Alza dan Toyota Vios dipandu 'transporter' terbabit.
Katanya, hasil siasatan awal, sindiket dipercayai menyeludup masuk Pati menggunakan jalan darat bagi tujuan bekerja di pelbagai lokasi dan negeri-negeri lain.
"Siasatan awal mendapati semua Pati itu membayar sebanyak 10 juta rupiah atau kira-kira RM3,000 kepada sindiket bagi menguruskan kemasukan mereka ke Malaysia.
"Kita mendapati 10 warga Indonesia yang berada dalam senarai syak tidak mempunyai cop imigresen dalam pasport mereka dan mereka bertindak masuk semula ke Malaysia walaupun selepas diusir," katanya.
Baharuddin berkata, semua suspek kini ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 bagi 12 orang Pati serta Seksyen 55a(1) Akta Imigresen 1959/63 bagi dua 'transporter' warga tempatan itu.
Ditanya mengenai pegawai imigresen yang dipercayai terbabit, beliau berkata, pihaknya sedang mengenal pasti pegawai berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
BAHARUDDIN menunjukkan pasport tanpa cop imigresen yang dirampas. FOTO Izz Laily Hussein
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... udupan-pati-metrotv |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|