CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 299|Reply: 0

[Pulau Pinang] 'Parti dipilih kena selesai isu nelayan, batal projek tambak laut'

[Copy link]
Post time 10-11-2022 07:13 PM | Show all posts |Read mode
'Parti dipilih kena selesai isu nelayan, batal projek tambak laut'


Oleh Zuhainy Zulkiffli - November 10, 2022 @ 6:41pm    [email protected]




Nelayan Teluk Kumbar mahu wakil rakyat yang memenangi PRU15 menyelesaikan isu nelayan dan membatalkan projek tambak laut. - Foto NSTP/Zuhainy Zulkiffli




BAYAN LEPAS: "Tiada apa lagi yang nelayan dan penduduk di sini harapkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini selain batalkan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

"Beginilah... sesiapa sahaja yang akan jadi wakil rakyat, kami terima tetapi perlu selesaikan isu itu dan jangan biar kami hidup dalam dilema," demikian kata nelayan pantai di Teluk Kumbar, Yahaya Che Lah, 70, mengenai harapannya untuk memilih parti dan calon wakil rakyat bagi Parlimen Balik Pulau.

Beliau berkata, isu itu berlarutan sehingga penduduk tidak lena tidur.

"Kita semua sudah maklum baik buruk projek itu jika diteruskan dan sudah pasti golongan nelayan yang akan terkesan.

"Jadi, sesiapa yang akan dipilih (memenangi kerusi) kelak, kami mahu mereka selesaikan isu ini dan tidak meminggirkan nelayan.

"Memang saya sudah berusia, tetapi kita juga perlu juga lihat nelayan muda dan golongan yang menjadikan hasil tangkapan laut sebagai punca pendapatan," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Projek PSR seluas hampir 17 kilometer persegi ialah projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas, dengan pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang bernilai kira-kira RM46 bilion.

Mengulas lanjut Yahaya berkata, dia sudah hampir 50 tahun berpengalaman sebagai nelayan dan sudah mahir dengan kewujudan lubuk ikan.

Katanya, terdapat pelbagai jenis siput tidak jauh dari kawasan pantai, namun jumlahnya kini semakin berkurangan berikutan air laut yang dipenuhi lumpur.

"Adakalanya saya turun ke laut sekitar jam 2 atau 4 pagi, tidak ada waktu yang tetap bagi menangkap ikan dan hanya melihat kepada keadaan cuaca atau pasang surut air laut.

"Di perairan ini banyak terdapat ikan senangin, bawal putih, kedera dan lain-lain lagi," katanya.

Penduduk Teluk Kumbar, Hasnah Ibrahim, 49, turut bersetuju dengan pandangan itu.

"Jika projek itu diteruskan bukan sahaja nelayan, malah penduduk juga mungkin terpaksa berpindah berikutan pembangunan yang akan didirikan," katanya.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah, berkata sekiranya parti diberi mandat pada PRU15, beliau bertekad menjadikan isu nelayan kawasan itu sebagai keutamaan.

Katanya, projek berkenaan berunsurkan perniagaan dan bukan berpihak kepada masyarakat sekitarnya.

"Sudahlah sumber laut akan lenyap, pendapatan dan pekerjaan mereka juga bakal hilang.

"Jika diberi mandat, kawasan berkenaan akan diwartakan dan dijadikan sebagai perkampungan nelayan, selain membantu menambah pendapatan mereka.

"Jika kita lihat kehidupan nelayan di luar negara, mereka berpendapatan tinggi dan kaedah mereka boleh dijadikan contoh," katanya di Balik Pulau, di sini.

Parlimen berkenaan menyaksikan pertandingan enam penjuru iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid; Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Pakatan Harapan) dan Fadzli Mohamad (Pejuang), Datuk Seri Sabaruddin Ahmad (Bebas), Datuk Seri Johnny C'hng Ewe Gee (Bebas).








Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-2-2025 02:19 AM GMT+8 , Processed in 0.035467 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list