Kangar: Bekas Menteri Besar Perlis yang keempat, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh, 78, meninggal dunia hari ini.
Berita pemergian Allahyarham dikongsi oleh anaknya, Natasya Pawanteh menerusi hantaran di Facebook yang menyatakan bahawa bapanya meninggal dunia sekitar jam 3.15 petang tadi.
Malah pemergian Allahyarham turut disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis yang Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Perlis, Abu Bakar Hamzah.
Punca pemergian Allahyarham bagaimanapun belum dapat dipastikan setakat ini.
Ketika hayatnya Allahyarham sangat aktif dalam politik termasuk mengetuai UMNO Perlis sebelum bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis
Allahyarham pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Perlis bermula pada 1986 sehingga 1995 sebelum digantikan oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Beliau menjadi Ahli Parlimen Arau dari 1982 sehingga 1986 sebelum berpindah kawasan dengan menjadi Ahli Parlimen Kangar pada 1999 sehingga 2003.
Pada Julai 2003, Allahyarham meletakkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Kangar untuk dilantik menjadi yang DiPertua Dewan Negara sehingga 2009 malah beliau juga pernah menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Jenazah akan dikebumikan selepas solat Jumaat di Masjid Negeri di Arau.