Butterworth: Gangguan bekalan air di Seberang Perai berikutan kerja pembaikan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua bermula jam 10 malam esok dijangka pulih dalam tempoh 36 jam.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, pengguna dijangkakan mengalami gangguan bekalan air selama 48 jam, namun sekiranya kerja di lapangan berjalan lancar proses penyaluran akan dipercepatkan berbanding tempoh biasa yang ditetapkan.
Bagaimanapun katanya, bagi pengguna yang berada di kawasan tinggi bekalan air mungkin memerlukan masa untuk dipulihkan.
"Kita harap pengguna bersiap sedia dengan gangguan bekalan berjadual ini yang akan bermula jam 10 malam esok dengan buat persediaan menyimpan air secukupnya termasuk berjimat cermat menggunakan sumber berharga ini," katanya ketika mengadakan lawatan ke LRA Sungai Dua, di sini, hari ini.
Turut bersama ialah ua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Ir K Pathnanathan.
Jelasnya, kerja-kerja pembaikan di LRA Sungai Dua penting demi keselesaan pengguna pada masa depan.
"Henti tugas LRA ini adalah bagi membolehkan kerja penggantian injap berdiameter 1,350 milimeter (mm) dan 1,200 mm yang rosak di loji terbabit dapat dilaksanakan.
"Sepatutnya kerja pembaikan ini sudah lama dibuat namun ia ditangguhkan atas faktor Pilihan Raya Umum (PRU) dan musim hujan," katanya.
Tegasnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pasukan bomba sukarela (PBS) akan menghantar tangki air di kawasan yang mendesak.
"Kita sudah buat persiapan menghantar tangki air ke kawasan yang mempunyai kemudahan penting seperti perubatan (hospital) penjara dan sebagainya," katanya.
Terdahulu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataan menyatakan bahawa sebanyak 197,851 akaun air meliputi tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual terbabit.