GEORGETOWN: Bekalan telur di negeri ini masih belum pulih sepenuhnya dengan segelintir pengusaha makanan mengeluh harga bahan mentah itu bukan sahaja mahal, malah mudah rosak jika tidak dihabiskan dalam tempoh tiga hingga empat hari.
Peniaga, Abdul Majeed Seeni Muhammad, 49, berkata dia memerlukan enam hingga tujuh papan telur gred B setiap hari yang dibeli pada harga RM15.60 hingga RM16 sepapan untuk aneka menu seperti roti telur goyang dan mi goreng.
"Dalam sepapan pula biasanya ada beberapa biji telur yang rosak kadang-kadang sehingga lima biji... memang dulu ada masalah ini juga tetapi tidak begitu terasa kerana harganya tidak semahal sekarang
"Saya memang hanya guna telur gred B untuk jaga kualiti makanan dan sebelum ada masalah bekalan, harganya sekitar RM12 kalau beli banyak," katanya ketika ditemui di gerainya yang terletak bersebelahan Pasar Chowrasta.
Abdul Majeed berkata kualiti telur sekarang tidak sebaik dahulu yang boleh bertahan lebih seminggu dan untuk mengurangkan risiko telur rosak dia membeli telur mengikut keperluan harian.
Seorang lagi peniaga kuih dan nasi lemak di Pasar Awam Bayan Baru, Karsinah Ranopaviro, 55, berkata dia menggunakan telur kulit putih yang dibeli pada harga RM14 sepapan berbanding RM12.50 sebelum ini dan akan menghabiskannya dalam tempoh tiga hari bagi mengurangkan risiko kerugian jika telur rosak.
"Pagi ini saya sudah buang tiga telur busuk dan saya juga terpaksa menaikkan harga sandwic telur daripada RM2 kepada RM2.50 sejak dua bulan lalu kerana bukan sahaja telur mahal tetapi harga bekasnya juga naik daripada RM18 kepada RM21.80 bagi setiap 100 bekas.
"Kuih bengkang biasa saya ambil daripada orang RM48 satu loyang sekarang sudah RM50 kerana ia juga guna telur selain harga tepung gandum cap mencecah RM4 sekarang selain harga nasi lemak juga dinaikkan daripada RM1.20 kepada RM1.30," katanya.
Selain itu, Karsinah turut tidak mendapat bekalan kuih akok yang dihantar ejen dari Tumpat, Kelantan menggunakan bas ekspres sejak tiga minggu lalu berikutan masalah telur serta mengakui kuih itu laris dan mempunyai peminat tersendiri di negeri ini.
Seorang peniaga telur di Pasar Chowrasta yang ingin dikenali sebagai Tan, 41, berkata telur gred A, B, C habis dijual seawal jam 10 pagi dan hanya telur omega masih banyak berbaki dan dijual pada harga 65 sen sebiji.
Seorang lagi peniaga telur, Tan Lian How, 46, berkata bekalan telur di gerainya masih berkurang sehingga 50 peratus dengan telur dijual mengikut harga kawalan iaitu 43 sen bagi gred A, 41 sen (gred B) serta 39 sen (gred C) manakala telur ayam kampung dijual 70 sen sebiji.
"Pada peringkat kami sebagai peniaga, tiada catuan dibuat kalau pelanggan hendak beli banyak tiada masalah dan kami juga dengar bekalan telur akan kembali pulih tidak lama lagi," katanya.