|

OSMAN Ayob (tengah), bersama isteri (kiri) dan cucu di Upacara Konvokesyen ke-60 USM, di sini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Georgetown: "Selagi boleh belajar, belajarlah dan jangan anggap usia sebagai penghalang yang penting jaga kesihatan kerana jika sihat sudah tentu senang terima pelajaran, " kata Osman Ayob, 71, yang memperoleh Ijazah Sarjana Sastera pada Majlis Konvokesyen Ke-60 Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.
Osman yang berasal dari Sungai Yan, Kedah, berkata kerjayanya sebagai penulis sepenuh masa juga mendorong bapa kepada seorang anak itu menyambung pengajian.
Katanya, dia turut melalui kisah panjang apabila beberapa permohonan bagi melanjutkan pelajaran di universiti awam tempatan ditolak.
"Sejak 2013, saya sudah beberapa kali memohon bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang Sastera namun ditolak dan memang kecewa, tetapi saya tidak mahu putus asa kerana yakin peluang akan tiba suatu hari nanti.
"Lima tahun kemudian, saya diterima mengikuti program Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di USM dan ketika itu hanya universiti ini yang menawarkan pengajian di luar kampus, sehingga saya terima ijazah Sarjana Muda Sastera pada penghujung 2017," katanya.
Mengulas lanjut Osman berkata, antara cabaran yang dihadapi sepanjang pengajian ialah dijangkiti penyakit tuberculosis atau tibi selama hampir dua tahun.
Osman berkata, ketika itu dia dan isteri, Salmah Shuib, 69, tinggal bersama anak tunggalnya, Akhmal, 43, di Putrajaya.
"Walaupun berada dalam keadaan lemah, semangat bagi menghabiskan pengajian itu amat kuat dan syukur semuanya berlangsung dengan baik.
"Saya juga gembira kerana hasrat menyambung pengajian ini mendapat dorongan isteri yang terus memberi galakan," katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai rutin belajar, Osman berkata dia tidak ada cara yang khusus ketika menimba ilmu.
"Saya belajar ikut 'mood' dan pada masa lapang, namun yang paling penting ialah sentiasa memastikan kesihatan diri dalam keadaan baik," katanya.
Osman adalah antara 524 graduan ijazah Sarjana yang menerima sijil masing-masing pada sidang kelima konvokesyen berkenaan yang disempurnakan Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -pada-usia-71-tahun |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|