|
KUALA TERENGGANU: Bekalan telur ayam gred AA, A dan B, berkurangan di pasaran sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna.
Tinjauan di beberapa syarikat pemborong mendapati berlaku sedikit lambakan telur ayam gred C, D dan
E.
Permintaan tinggi ke atas sumber protein gred AA, A dan B itu dikaitkan dengan pengumuman kerajaan untuk menurunkan harga telur ayam.
Pengurus Syarikat Bigpoly Supplies, Fuan Chai Feng mengakui bekalan telur ayam tiga gred utama itu sukar diperoleh daripada pengeluar.
Katanya, syarikatnya menerima bekalan telur ayam sebanyak 2,700 papan mengandungi kira-kira 81,000 biji dan diedarkan terus ke tiga kedai cawangan di Kuala Terengganu, semalam.
"Daripada jumlah itu, hanya 900 papan mengandungi 27,000 biji telur gred AA, A dan B, manakala bakinya 1,800 papan mengandungi 54,000 biji adalah gred C, D serta E.
"Telur gred AA, A dan B yang masing-masing dijual pada harga RM16.20, RM13.50 dan RM12.90 satu papan habis dijual dalam tempoh tiga jam," katanya.
Tinjauan di dua kedainya iaitu di Cabang Tiga dan di Jalan Sultan Sulaiman mendapati berlaku sedikit lambakan sumber protein gred C, D dan E serta telur omega.
Sementara itu, tinjauan di sebuah lagi kedai pemborong mendapati suasana berbeza apabila pengguna tidak lagi perlu beratur panjang untuk mendapatkan bekalan.
Pengurus syarikat itu, Nursyzanil Adha Ramli, berkata pihaknya menerima bekalan telur pelbagai gred sebanyak 5,000 papan mengandungi 150,000 biji daripada pengeluar awal pagi ini.
Katanya, keadaan dan suasana amat berbeza apabila pengguna tidak beratur panjang dan mengambil masa lebih setengah jam untuk mendapatkan bekalan.
"Pengguna juga mengutamakan pilihan untuk mendapatkan telur ayam gred AA, A dan B.
"Kita dimaklumkan kekurangan pengguna untuk mendapatkan bekalan telur ayam disebabkan pengumuman kerajaan bagi menurunkan harga," katanya yang turut mengakui kebanyakan pengguna dan pelanggan tetapnya menunggu pengumuman penurunan harga.
Nursyzanil berkata, antara punca berlakunya sedikit lambakan telur ayam gred C, D dan E adalah disebabkan bekalan dihantar pengeluar secara serentak di beberapa syarikat pemborong.
Selain itu, katanya, pengguna juga menunggu untuk mendapatkan bekalan sebaik kerajaan mengumumkan penurunan harga.
Pekerja syarikat pemborong menyusun lambakan bekalan telur gred C, D dan E, hari ini. NSTP/Baharom Bakar
https://www.bharian.com.my/berit ... kurangan-di-pasaran |
|