|
KEADAAN kenderaan suspek yang terbabas di Kilometer 5 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis. FOTO Ihsan PDRM
Gua Musang: Tindakan buruh kimpal cuba menyeludup lima pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar dengan menggunakan sebuah kereta gagal apabila kenderaan itu terbabas di Kilometer 5 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, di sini, semalam.
Dalam kejadian 6 petang itu, pemandu kereta iaitu lelaki berusia 31 tahun ditahan bersama tiga lelaki dan dua wanita warga Myanmar berusia antara 16 hingga 42 tahun.
Kereta itu terbebas selepas dikejar polis sejauh 15 kilometer.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, suspek terbabit dipercayai mengambil Pati dari Rantau Panjang untuk dihantar ke Bentong, Pahang.
"Siasatan lanjut mendapati bahawa suspek menerima upah sebanyak RM250 untuk setiap Pati yang dibawanya.
"Hasil pemeriksaan ke atas suspek juga menjumpai pil yang dipercayai Yaba dan ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu, Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... udup-5-pati-myanmar |
|