GEORGETOWN - Pulau Pinang bakal mempunyai perkhidmatan teksi air lengkap yang dijangka beroperasi pada 2024.
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, perkhidmatan tersebut merupakan mod pengangkutan awam baharu yang boleh digunakan oleh orang awam di Pulau Pinang.
Menurutnya, perkhidmatan teksi air itu juga antara yang terkandung dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai RM46 bilion.
"Perkhidmatan teksi air ini bakal dijadikan satu akses tambahan kepada orang awam untuk perjalanan jarak jauh di kawasan bandar. Contohnya perjalanan transit kerja, urusan kerajaan, aktiviti harian, urusan peribadi dan sebagainya.
"Selain itu, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan pulau. Di samping itu, cadangan perkhidmatan teksi air ini juga bertujuan menggalakkan aktiviti pelancongan di Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar di Komtar pada Jumaat.
Susulan daripada itu, kerajaan negeri bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah membuka Request For Proposal (RFP) untuk syarikat-syarikat yang berminat untuk menyertai tender projek tersebut.
Zairil berkata, syarikat yang ingin menyertai RFP itu dikehendaki mematuhi syarat dan keperluan seperti yang dinyatakan di dalam dokumen RFP.
"Syarikat yang berminat perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) serta mempunyai modal berbayar (paid up capital) sekurang-kurangnya RM500,000 untuk menyertai RFP ini.
"RFP akan dibuka pada 12 Disember ini dan ditutup pada 27 Februari 2023. Syarikat yang berminat perlu berdaftar dengan Sistem Perolehan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui laman web
https://ep.penang.gov.my untuk membeli dokumen RFP ini.
"Dokumen RFP hanya dijual secara dalam talian melalui laman web tersebut dan perlu dibeli serta dimuat turun melalui akaun perolehan masing-masing sebagai pengesahan pembelian," katanya.
Menurut beliau, syarikat diwajibkan menghadiri sesi penjelasan RFP pada 19 Disember ini sebelum membeli dokumen RFP.
"Walaupun kita sudah mempunyai cadangan lokasi jeti iaitu di Batu Maung, Straits Quay, Terminal Pelayaran Swettenham Pier dan Pulau Jerejak, namun syarikat yang menyertai RFP perlu mencadangkan lokasi jeti yang dirasakan sesuai.
"Selain itu, syarikat perlu menyediakan Laporan Awal Kebolehupayaan Kajian, jenis dan spesifikasi feri atau bot yang akan digunakan, model kewangan dan tempoh pelaksanaan projek," katanya.
Pulau Pinang sedang melihat untuk melaksanakan PTMP yang mengandungi projek Transit Aliran Ringan (LRT), tiga jalan berkembar, terowong dasar laut dan beberapa lagi sebagai sebahagian daripada usaha mengatasi masalah kesesakan trafik yang semakin buruk.