|
Salah seorang daripada pekerja yang sedang mengaut ikan yang mati di dalam sangkar di Kampung Batu Lada, Mengkebang. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Kuala Krai: Musim tengkujuh yang melanda saban tahun bukan sahaja membimbangkan penduduk, malah ia turut dirasai penternak ikan sangkar di Kampung Batu Lada, Mengkebang, di sini.
Penternak ikan sangkar, Rohaimin Yusoff, 50, berkata, sejak Sabtu minggu lalu, dia dan tiga pekerjanya akan sentiasa memantau keadaan semasa air Sungai Kelantan di Kuala Krai serta kawasan di sekitar sangkar pada siang dan malam bagi memastikan ikan sangkarnya tidak terjejas.
Katanya, sungai berkenaan adalah sungai utama, dan dia risau jika dengan cuaca yang tidak menentu selain berlaku hujan lebat sekali-sekala menyebabkan air naik secara mendadak sekali gus membawa sampah serta kayu sehingga menjejaskan jaring ikan.
"Bagaimanapun, keadaan trend air sungai yang tidak menentu menyebabkan ada juga ikan di dalam sangkar ini yang mati berikutan arus sungai yang deras, namun tidaklah banyak.
"Dalam masa sama, saya juga mengambil langkah awal dengan mengikat sangkar pada pokok berdekatan sungai untuk mengelaknya daripada dihanyutkan arus deras air sungai yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
"Setakat ini, saya mempunyai 29 sangkar yang menempatkan 50,000 ikan dari spesies patin, baung, serta lampam yang sudah matang dan boleh dijual kepada pengusaha kedai makan dan restoran di sekitar Kuala Krai," katanya ketika ditemui di sangkar ikan miliknya, di sini, semalam.
Katanya, dia memulakan penternakan ikan sangkar sejak Januari tahun lalu dan mengeluarkan modal RM10,000 untuk membina tujuh petak sangkar ikan termasuk kos membeli papan untuk dijadikan rangka sangkar, jaring dan tong plastik bagi mengapungkan sangkar di Sungai Kelantan.
"Pada peringkat permulaan, saya hanya menternak 2,500 benih ikan patin yang diperoleh secara percuma daripada Jabatan Perikanan Kuala Krai, namun mengalami kerugian disebabkan semua ikan berkenaan mati di dalam petak sangkar sebelum mencapai tempoh matang.
"Ketika itu, saya tidak mempunyai ilmu mengenai penternakan ikan sangkar, namun mendapat tunjuk ajar daripada orang lebih berpengalaman selain merujuk kepada YouTube dan kini sudah mengetahui selok-belok mengenainya.
"Alhamdulillah sepanjang dua tahun mengusahakannya, penternakan ikan sangkar ia memberi pulangan yang agak lumayan, namun risiko yang perlu dihadapi adalah setiap kali musim tengkujuh," katanya.
Rohaimin berkata, pada awal Januari tahun hadapan, dia bercadang untuk menambah 100,000 benih ikan keli bagi menampung permintaan setempat.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -sangkar-mula-risau |
|