CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 299|Reply: 0

[Pahang] Tetap setia menunggu sejak 19 tahun lalu

[Copy link]
Post time 25-12-2022 01:27 PM | Show all posts |Read mode

ROSLI (kanan) setia menjaga isterinya, Rusmahwati yang koma sejak 19 tahun lalu. FOTO Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Tidak ada pengorbanan yang paling berharga buat suami terhadap isteri tercinta melainkan menjaganya seikhlas hati selepas wanita berkenaan terlantar dan koma sejak 19 tahun lalu.

Impian untuk membina rumah tangga bahagia hingga ke jannah tidak menjadi kenyataan, hanya selepas 10 tahun mahligai berkenaan diuji dengan ujian yang begitu berat buat Rosli Itam, 53.

Menurut pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kem Batu 10, di sini, episod isterinya, Rusmahwati Wazir Mohamed, 50, koma berlaku selepas dia melahirkan anak keempat mereka.


Katanya, kehidupan dia (Rusmahwati) sebelum itu sihat dan tiada menghidap sebarang penyakit namun berubah apabila dia meracau serta tidak sedarkan diri pada Mei 2004.

"Sewaktu kejadian, saya berada di Butterworth, Pulau Pinang dan pada malam 24 Mei 2004, saya dimaklumkan jiran bahawa isteri meracau dan selepas itu tidak sedarkan diri.

"Isteri saya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan apabila tiba di hospital, doktor memaklumkan dia dalam keadaan kritikal dan koma.

"Menurut doktor, isteri saya menghidap penyakit hypoxic encephalopathy atau hipoksia otak dan memerlukan masa yang agak lama untuk pulih di samping rawatan fisioterapi setiap hari," katanya yang menetap di Taman Sri Mahkota Aman di sini.

Penyakit hipoksia otak agak asing dalam kalangan masyarakat dan ia membawa maksud satu bentuk hipoksia atau kekurangan oksigen yang mempengaruhi otak.

Ia berlaku ketika otak tidak menerima oksigen yang mencukupi walaupun darah masih mengalir apabila bekalan oksigen terputus, maka ia digelar hipoksia otak.

Gejala itu menjadi lebih berbahaya apabila aliran oksigen ke otak terputus dan kesan buruknya boleh mengakibatkan koma, sawan dan kematian otak.

Rosli berkata, selain HTAA, isterinya turut menerima rawatan di Hospital Teluk Intan dan Hospital Angkatan Tentera Lumut di Perak, namun keadaannya tetap sama, tidak banyak perubahan berlaku hingga ke hari ini.

Katanya, selain rawatan moden di hospital, dia turut mendapatkan rawatan dengan lebih 50 individu yang menggunakan cara tradisional dan alternatif di seluruh Semenanjung namun belum berhasil.

Menurutnya, bermula daripada situ corak kehidupannya berubah hampir 100 peratus apabila terpaksa menguruskan isteri selain menjaga empat anak masih kecil yang memerlukan perhatian.

"Saya terpaksa berkorban dengan membahagikan masa antara tanggungjawab pada keluarga dan tugas sebagai juruteknik TUDM yang tidak kurang pentingnya. Sokongan keluarga, rakan dan pegawai TUDM ketika itu dapat menguatkan semangat.

"Saya tidak pernah jemu dan terbeban menguruskan isteri yang hanya terbaring diatas katil. Menukar lampin pakai buang, memberi susu dan mengelap badan dilakukan setiap hari tanpa rasa jemu.

"Kasih sayang saya pada isteri tidak pernah pudar selepas 24 tahun mendirikan rumah tangga, dalam keadaan dia koma saya tetap sentiasa berbual denganya. Saya yakin dia mendengar dan faham," katanya.

Rosli berkata, tiada impian yang diharapkan melainkan ingin melihat isteri kembali sedar suatu hari nanti walaupun detik berkenaan tidak pasti bila akan berlaku.

Menurutnya, Rusmahwati kini hanya minum susu khas melalui tiub di hidungnya yang bekalannya setiap bulan diperoleh menerusi bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Katanya, agensi berkenaan turut membekalkan lampin pakai buang setiap bulan, bantuan bulanan RM300 turut diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang.

"Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk TUDM yang membantu isteri saya sejak 2004 sehinggalah saya bersara pada 2013 lalu.

"Kini saya hanya mengharapkan doa daripada semua pihak untuk mendoakan isteri saya kembali sedar dan menjalani kehidupan normal seperti dahulu," katanya yang tidak menagih bantuan kewangan kerana bantuan yang diterima sudah mencukupi.

Tambahnya lagi, dia tidak pernah putus harapan agar Rusmahwati pulih suatu hari nanti dan berharap jika ada pakar dan pengamal perubatan Islam yang boleh merawat penyakit isterinya tampil membantu.

Katanya, dia sentiasa berdoa suatu hari nanti tampil individu yang dapat merawat isterinya, dia mampu bercakap pun sudah memadai, biarlah dia tidak boleh bergerak.

"Saya akan terus menjaganya sehingga ke akhir hayat dengan sokongan anak, Alin Fadhlina, 19 dan Aina Farahyu, 21.

"Tuhan telah atur kehidupan saya... saya reda dengan ujian yang diterima ini walaupun ia begitu berat untuk dihadapi," katanya.

https://www.hmetro.com.my/utama/ ... sejak-19-tahun-lalu
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-1-2025 02:14 PM GMT+8 , Processed in 0.046733 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list