View: 327|Reply: 0
|
[Pahang]
Lima individu rugi lebih RM600,000 terpedaya sindiket dalam talian
[Copy link]
|
|
KUANTAN: Lima mangsa termasuk guru mengalami kerugian berjumlah RM617,051 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata mangsa berumur antara 29 dan 58 tahun.
Beliau berkata, dalam kes pertama, seorang guru lelaki berusia 37 tahun menerima pesanan melalui WhatsApp daripada individu tidak dikenali menawarkan kerja sambilan pada akhir Disember lalu.
Katanya, kerja yang ditawarkan itu ialah sebagai penulis ulasan mengenai tempat menarik yang dihantar kepada mangsa melalui pautan Google Map dalam pesanan melalui WhatsApp.
"Mangsa ditawarkan sebanyak RM8 untuk setiap ulasan yang diberikan dengan cara mangsa perlu menghantar gambar tangkapan skrin berserta ulasan ke akaun Telegram (Cassandra Dania Auditor).
"Selepas selesai menulis lima ulasan mengenai lokasi diterima, mangsa diminta untuk membuat tugasan baharu iaitu pembelian Bitcoin dan suspek menjanjikan bayaran komisen.
"Mangsa kemudian melakukan transaksi ke 13 akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek sehingga mengalami kerugian RM139,364," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramli berkata, dalam kes lain, pada awal Disember lalu, seorang wanita berusia 38 tahun dipelawa oleh rakan kenalan Facebook bernama Lee Chin Yu menyertai pelaburan saham Crypto Market CICC menawarkan keuntungan 28.4 peratus dalam mata wang USD.
"Mangsa membuat pindahan wang secara transaksi ke 15 pemilik akaun bank berlainan diberikan oleh suspek sebelum menyedari diri ditipu oleh rakan kenalan Facebook sehingga mengalami kerugian RM154,367," katanya.
Bagi kes ketiga, Ramli berkata, pemandu lori berusia 58 tahun kerugian RM127,800 selepas dikatakan terbabit dalam sindiket pengedaran dadah.
Katanya, berdasarkan laporan, mangsa dihubungi pegawai polis yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Teo dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada 21 Disember lalu.
"Suspek memaklumkan mangsa mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah dan kesemua akaun pengadu akan dibekukan," katanya.
Ramli berkata, kes keempat membabitkan seorang wanita yang bekerja sebagai pembantu khidmat pelanggan yang kerugian RM135,520 selepas menerima panggilan telefon daripada syarikat penghantaran barang.
Katanya, panggilan itu memaklumkan satu bungkusan yang dikirim oleh mangsa untuk dihantar ke Miri, Sarawak.
"Sekiranya mahu membuat pembatalan, mangsa perlu bercakap dengan pihak polis dan memberi makluman peribadi. Mangsa juga dikatakan terbabit dalam kes pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram.
"Mangsa telah menekan pautan (https://malaysia.brncc.com ) dan memasukkan butiran tiga akaun bank berserta kata laluan.
"Mangsa berasa ditipu apabila mendapati wang dalam akaun bank tiada dan mengalami kerugian RM135,520," katanya
Beliau berkata, kes lima pula membabitkan seorang kontraktor berusia 58 tahun terpedaya dengan skim pelaburan dinar emas.
Katanya, skim pelaburan di Papua, Indonesia memaklumkan pada bulan pertama, mangsa akan mendapat keuntungan tiga peratus sehari selama sebulan mengikut modal pelaburan.
"Untuk menjadi ahli, mangsa perlu mendaftar dalam laman sesawang atas nama Deet.
"Mangsa membuat empat kali transaksi melalui mesin deposit tunai (CDM) di bank tetapi tidak mendapat pulangan dan dividen seperti yang dijanjikan menyebabkan kerugian RM60,000," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... ndiket-dalam-talian |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|