GEORGE TOWN: Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB), subsidiari milik penuh syarikat farmaseutikal terkemuka Malaysia, Pharmaniaga Bhd, secara rasmi membuka pusat pengedaran baharunya di Pulau Pinang.
Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope, dalam satu kenyataan berkata pusat baharu ini akan meningkatkan liputan kapasiti pengedaran kumpulan, sebagai penampan kesediaan stok serta memenuhi permintaan pelanggan wilayah utara yang semakin meningkat terutamanya bagi menyokong kemudahan Kementerian Kesihatan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Pusat pengedaran itu yang terletak di Fasa 4 Zon Perindustrian Prai, Pulau Pinang, juga sebahagian daripada penempatan semula pejabat pengurusan PLSB serta pembesaran gudang yang dimulakan sejak April 2021.
"Kami menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti pengedaran semasa dengan ketara agar sejajar dengan pertumbuhan perniagaan kami di samping mengembangkan tahap perkhidmatan logistik PLSB sedia ada dan memenuhi pesanan pelanggan tepat pada masanya di seluruh wilayah utara.
"Pusat pengedaran baharu ini mempunyai sebanyak 3,500 palet ruang gudang untuk ubat-ubatan terkawal dan peralatan perubatan," katanya.
Zulkarnain berkata, PLSB kini mengguna pakai Sistem Pengurusan Pengangkutan Oracle (OTM) bagi menggerakkan perkhidmatan logistik kumpulan, yang mana, ia juga merupakan sebahagian daripada pertumbuhan strategik ke arah langkah automasi dan pendigitalan untuk penambahbaikan berterusan dalam operasi.
Melangkah ke hadapan, kumpulan mahu meningkatkan kapasiti penyimpanan bagi memenuhi permintaan lebih banyak hospital dan klinik swasta selain kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan di wilayah utara.
"Pada masa ini, kami sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk membangunkan gudang kami sendiri di Sungai Petani, Kedah dengan kapasiti yang lebih tinggi bagi memenuhi keperluan pengembangan perniagaan semasa dan masa depan.
"Dengan perkembangan baharu ini, kapasiti pusat pengedaran Wilayah Utara untuk 2021 menokok dengan ketara kepada 180 peratus berbanding 2020. Bagi 2022, pertumbuhan naik sebanyak 32 peratus daripada 2021 dan 270 peratus berbanding 2020," katanya.
Setakat ini, kumpulan itu mempunyai lima pusat pengedaran yang strategik di seluruh negara iaitu di Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak dengan saiz lebih daripada 200 pengangkut yang membuat penghantaran melalui udara, air serta jalan darat.
Di peringkat antarabangsa, beliau berkata kumpulan itu mengukuhkan jejaknya di Indonesia melalui PT Millennium Pharmacon International Tbk (MPI), cabang logistik dan pengedaran tersenarai awam di Jakarta.