Bukit Mertajam: Perit namun hakikatnya, Nur Fatiha Jamari dan suami, Mohammad Yazid hanya berpeluang menimang cahaya mata sulung mereka tidak sampai sehari sebelum dijemput ilahi.
Lebih memilukan apabila Nur Fatiha, 30, tidak dapat mengiringi jenazah anaknya ke tanah perkuburan kerana keadaan tidak mengizinkan memandangkan masih ditahan di wad ketika itu.
Hanya suaminya, Mohammad Yazid Arjunaidi, 32, yang dapat membantu menguruskan jenazah daripada awal hingga dikebumikan.
Mengimbau kisah sedih itu, Nur Fatiha berkata, bayi diberi nama Muhammad Adam Rizqi itu dilahirkan pada 17 Julai 2020 namun ditakdirkan meninggal dunia sehari kemudian akibat kelahiran pramatang.
Menurut Nur Fatiha, anaknya itu dalam keadaan baik ketika kandungan namun berlaku pendarahan yang menyebabkan dia dimasukkan ke wad lebih awal.
"Sebelum masuk ke wad, saya sempat balik ke kampung dan menempuh perjalanan agak jauh namun tiada masalah.
"Apabila tiba di rumah, berlaku pendarahan dan doktor beritahu perlu jalani pembedahan untuk melahirkan anak pada usia kandungan 29 minggu dan kemudian menunda sehingga 30 minggu 3 hari.
"Sepatutnya pembedahan dijalankan pada 16 Julai namun ditunda keesokannya kerana saya demam panas secara tiba- tiba.
"Semasa pembedahan, saya diberi bius penuh. Jadi saya tidak sedar langsung semasa bayi dilahirkan dan tidak berpeluang menatap wajah bayi," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Katanya, dia hanya sempat meluangkan masa bermain dan 'berbual dengan anaknya itu lebih kurang tiga jam saja iaitu daripada jam 3.30 hingga 6.30 pagi.
"Suami pun sempat azankan dan nampak Adam tersenyum malah kerutkan dahi ketika saya kata mahu balik.
"Sebaik saja suami pergi solat, nampak kaki dan wajahnya pucat kemudian bacaan oksigennya juga turun jadi minta bantuan doktor untuk periksa.
"Jam 8 pagi, doktor jumpa saya dan serahkan jasad Adam kaku tidak bernyawa. Ketika itu, saya terkejut sangat hingga tidak keluarkan air mata kerana macam tak percaya memandangkan baru bermanja dengan Adam," katanya.
Nur Fatiha berkata, dia mahu mengikut suaminya ke jabatan forensik untuk menguruskan anaknya ketika itu namun tidak dibenarkan doktor kerana dikhuatiri terkena jangkitan kuman.
Jadi, suaminya yang bantu uruskan semuanya termasuk membawa jenazah daripada hospital ke Tanah Perkuburan Islam Permatang To' Kandu, Pulau Pinang.
"Suami saya seorang yang susah tunjukkan kesedihannya namun berhenti di tepi Jambatan Pulau Pinang ketika dalam perjalanan membawa jenazah Adam ke tanah perkuburan untuk menangis kerana terlalu sedih.
"Dia sedih sangat kerana dia baru beli kereta untuk mudahkan kami bertiga pulang ke kampung tetapi terpaksa bawa Adam saja kembali ke rumah abadinya.
"Sementara saya di wad pun patah hati setiap kali tengok orang lain pegang bayi mereka kerana terlalu sedih.
"Dua bulan lepas pantang, saya terus ziarah pusara Adam dan boleh dikatakan, setiap minggu akan pergi kerana berasa tak kuat jika tidak ke situ," katanya.
Menurut Nur Fatiha, dia mengambil masa lebih setahun untuk menerima hakikat pemergian Muhammad Adam Rizqi.
Katanya, apa yang berlalu tidak membuatkannya serik untuk hamil lagi kerana masih inginkan zuriat.
"Saya dan suami masih usaha dapatkan zuriat namun belum ada rezeki.
"Menurut doktor, saya berisiko tinggi jika hamil tetapi demi suami, saya sanggup," katanya
Berhubung perkongsiannya di Facebook (Fb), Nor Fatiha berkata, dia bukan tidak reda dan menerima takdir cuma rindu mengenangkan Muhammad Adam Rizqi.
"Alhamdulillah, ramai beri komen positif dan paling penting, keluarga serta suami banyak beri sokongan.
"Saya dan suami juga pergi mengerjakan umrah akhir tahun lalu untuk di sana dan diharap impian kami termakbul," katanya.