TASEK GELUGOR: Kemelut politik yang sedang melanda Sabah ketika ini, disifatkan sebagai cerminan realiti sikap sebenar segelintir pemimpin UMNO, yang rakus dalam merebut kuasa demi kepentingan peribadi.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata adalah menjadi realiti bahawa pemimpin UMNO dilihat tidak menghormati perjanjian yang dilakukan, demi membolehkan mereka terus berkuasa.
"Saya rasa ini adalah realiti sikap UMNO (pemimpinnya). Kita kena ingat semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin dulu siapa yang buat kacau (tarik sokongan) kalau bukan UMNO.
"Di Sabah ketika ini, siapa yang tarik sokongan kalau bukan UMNO. Inilah realiti UMNO yang tidak menghormati perjanjian, rakus dalam merebut kuasa, namun kita harap penyelesaian terbaik akan dicapai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Bersama Pesawah Padi bersempena Penubuhan Kelompok Tani Nyior Sebatang, di sini, hari ini.
Ditanya sama ada kemelut politik Sabah itu sudah dijangka susulan pengunduran Datuk Seri Hajiji Noor daripada BERSATU, Wan Saiful tidak dapat memberi maklum balas rasmi berhubung situasi di Sabah dan kenyataan lebih tepat akan diberikan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kelak.
Beliau berkata, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Setiausaha Agong BERSATU sudah mengadakan pertemuan bersama ahli serta pemimpin BERSATU Sabah pada Sabtu lalu untuk mendapatkan input berhubung situasi melanda negeri itu.
"Jadi, ini semua akan dikumpul dalam satu input yang akan disuarakan oleh ketiga-tiga pemimpin itu kepada MPT dan satu kenyataan lebih tepat akan dikeluarkan kelak," katanya.
Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, berkata BERSATU juga dalam proses menyusun struktur organisasinya di Sabah.
"Kita kena ingat yang keluar daripada parti adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin yang mungkin pegang jawatan Ketua Bahagian tetapi timbalan ke bawah itu masih ada. Jadi dalam hal ini, sekiranya yang nombor satu keluar, maka yang nombor dua akan memangku.
"Kita dalam proses menyusun semula semua ini. Kita juga dapati walaupun ada yang keluar tapi mereka menyatakan bahawa hati sebenarnya masih ada dengan BERSATU, cuma situasi semasa memaksa mereka untuk ambil tindakan seperti mana yang dibuat," katanya.
Kemelut politik Sabah bermula apabila Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menarik sokongan UMNO-Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Hajiji.
Suasana itu berlanjutan apabila Hajiji mendakwa masih mendapat sokongan 44 ADUN, manakala Bung Moktar meneruskan usahanya untuk menumbangkan kerajaan GRS.