View: 327|Reply: 0
|
[Pahang]
'Alhamdulillah, Allah bagi hidayah'
[Copy link]
|
|
AHMAD Taufek Zakaria (kanan) juga menjadi tenaga pengajar di Pondok At-Tahwil, di Cherating, Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya
Kuantan: "Saya bukan orang yang arif dalam agama, malah saya juga pernah lalai tetapi saya ingin kembali ke jalan Allah.
"Umur saya pun sudah 73 tahun, bila lagi saya nak buat (perubahan). Alhamdulillah, Allah bagi hidayah," kata Ramli Nordin, pemilik resort di Cherating yang kini dijadikan pondok untuk warga emas mendalami Islam.
Katanya, sebahagian daripada 164 unit apartmen Cherating Bay Resort itu menjadi Pondok Warga Emas At-Tahwil yang sudah beroperasi sejak tahun lalu.
Menurutnya, resort berkenaan diusahakan lebih 20 tahun lalu dengan nilai pelaburan hampir RM19 juta, namun perniagaan itu gulung tikar pada 2018.
"Sejak itu resort ini terbiar sehingga semak samun. Jadi bila saya datang tengok tempat ini terbiar, saya terasa mahu buat sesuatu supaya tempat ini boleh digunakan.
"Saya berbincang dengan keluarga dan kawan-kawan, timbullah idea untuk jadikan sebahagian resort sebagai pondok agama untuk warga emas," katanya yang memberitahu pembangunannya dibantu pelbagai pihak.
Ramli berkata, surau baharu turut didirikan di kawasan itu bagi kegunaan penghuni pondok, hasil sumbangan orang ramai.
"Impian saya supaya pondok ini dapat dibangunkan dengan sempurna seterusnya menjadi pusat dakwah dan penyebaran maklumat mengenai Islam terutama kepada pelancong asing.
"Namun usaha itu terbantut kerana kami tidak mempunyai cukup dana untuk menampung kos baik pulih unit apartmen yang rosak, dianggarkan antara RM5,000 hingga RM6,000 seunit," katanya.
Sementara itu, Penyelaras Pondok At-Tahwil, Fatimah Awang Lah, 75, berkata, pondok itu beroperasi pada Oktober 2021 dan kini mempunyai 12 penghuni termasuk ibu tunggal dan dua pasangan suami isteri.
"Pada peringkat awal, hanya tiga penghuni yang tinggal di pondok ini namun kini kami sudah membaik pulih 10 unit apartmen untuk kegunaan pondok.
"Terdapat 26 unit lagi perlu diperbaiki namun usaha itu terbantut kerana tidak mempunyai dana mencukupi," katanya yang berharap orang ramai dapat membantu mereka.
Katanya, antara aktiviti harian yang dilakukan di pondok itu ialah solat berjemaah, kuliah subuh, kelas mengaji Al-Quran, bacaan hadis serta kuliah untuk tiga kali seminggu.
Fatimah berkata, pihaknya merancang menjadikan pondok itu sebagai perintis bagi pelancongan berkonsep ibadah, mengambil kira Cherating sebagai tapak pelancongan popular.
"Kami bercadang untuk membaik pulih beberapa unit apartmen untuk dijadikan 'homestay' khusus untuk pengunjung yang mahu datang bercuti sambil beribadah atau ahli keluarga penghuni yang datang menziarah.
"Sebagai contoh, datang sebuah keluarga termasuk ibu dan ayah. Jadi ibu dan ayah mereka boleh mengikuti pakej kursus agama yang kami sediakan, sementara ahli keluarga lain boleh berlibur di sekitar Cherating,"katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -allah-bagi-hidayah |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|