View: 424|Reply: 0
|
[Pahang]
Buat unggun api, jangan tunggu durian sedang gugur
[Copy link]
|
|
Penduduk Orang Asli di Kampung Tual A, Pos Senderut disaran membuat unggun api bagi menghalang gajah menceroboh kampung mereka. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Kuantan: Membuat unggun api setiap malam antara kaedah boleh dilakukan penduduk Orang Asli di beberapa kampung kecil di Pos Senderut dan Pos Betau, Lipis, di sini, bagi menghalang gajah daripada masuk ke dalam kampung untuk mencari makan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin berkata penduduk juga dinasihatkan supaya tidak keluar waktu malam untuk ke kebun menunggu durian yang kini sedang gugur.
Menurutnya, gajah aktif pada waktu malam untuk mencari makan dan sekiranya terserempak dengan penduduk, haiwan berkenaan boleh bertindak menyerang tanpa disangka.
Katanya, bagi mereka yang tetap ingin ke kebun untuk memungut hasil, mereka perlu pergi secara berkumpulan selain membuat tinjauan terlebih dahulu dalam kawasan dan sekitarnya.
"Sekiranya terserempak dengan gajah mereka perlu segera lari dan bersembunyi di belakang batu atau pokok besar, jangan membuat bising serta bunyian selain cuba mengambil gambar termasuk menghalau kerana cara itu dapat menarik perhatian haiwan berkenaan.
"Saya juga berharap penduduk dapat segera melaporkan kepada Perhilitan atau batin sekiranya mengetahui kehadiran gajah di kampung mereka," katanya, dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas berikutan kejadian seekor gajah jantan menyerang hingga menyebabkan kematian remaja Orang Asli, Andy Yok Manin, 15 di Kampung Tual B, Pos Senderut, Isnin lalu.
Kumpulan gajah berkenaan dipercayai turut menyerang dengan memijak hingga menyebabkan kematian seorang wanita Orang Asli di Kampung Simoi Baru, Pos Betau pada 7 Disember tahun lalu.
Rozidan berkata, pihaknya kini giat berusaha untuk menangkap dan memindahkan haiwan berkenaan secepat mungkin namun sehingga kini usaha menjejaknya masih lagi gagal dilakukan.
"Usaha menjejak gajah berkenaan yang bergerak sendirian akan dilakukan sehingga Khamis depan, dengan menumpukan di beberapa tempat di Pos Senderut dan kawasan berhampiran.
"Penjejakan akan dibuat setiap hari berdasarkan kesan terbaru yang ditemukan kumpulan peninjau dan maklumat daripada penduduk.
"Jarak penjejakan dianggarkan antara 10 hingga 20 kilometer setiap hari, bergantung kepada jejak yang ditinggalkan haiwan berkenaan," katanya yang berharap penduduk setempat dapat bersabar.
Turut menyertai operasi berkenaan empat kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... durian-sedang-gugur |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|