Yan: Seorang anggota bomba bantuan (PBB) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan cedera di pergelangan tangan kiri selepas digigit seekor beruang di kawasan sawah di Kampung Selarong Tengah di sini, hari ini.
Ketua BBP Yan Penolong Penguasa Bomba Norhamidi Ali berkata, Mohd Nizam Hamid, 27, kini dirawat di Hospital Yan (HY) akibat kecederaan serius namun keadaannya stabil.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehadiran seekor beruang di kawasan itu jam 10.15 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
"Beruang itu dipercayai datang dari arah kawasan semak berhampiran kampung berhampiran.
"Operasi turut dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Yan serta penduduk kampung yang mengejar beruang itu dan cuba menangkapnya.
"Ketika dalam proses menangkap haiwan itu, Mohd Nizam dipercayai terjatuh dan ketika itu, beruang hitam terbabit menerkam serta mengigitnya sebelum melarikan diri," katanya dihubungi.
Norhamidi berkata, pihaknya masih menunggu laporan doktor berkaitan kecederaan dialami Mohd Nizam.
Katanya, ada kemungkinan Mohd Nizam akan dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.
"Operasi mengesan beruang terbabit masih berjalan. Ia dipercayai masih berada di lokasi berkenaan," katanya.