|
Bagnaia (depan) antara pelumba yang mengadakan sesi ujian rasmi pramusim di SIC minggu depan.
KUALA LUMPUR: Peminat sukan permotoran tempatan berpeluang untuk menyaksikan kelibat pelumba terkemuka dunia apabila mereka mengadakan sesi ujian rasmi pramusim Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 10 hingga 12 Februari ini.
SIC dalam satu kenyataan, berkata peminat boleh memenuhi litar berkenaan di kawasan grandstand utama secara percuma untuk melihat sesi ujian pramusim itu.
Katanya, beberapa pelumba terkenal akan hadir bagi mengadakan sesi ujian di litar berkenaan antaranya Francesco Bagnaia, Fabio Quartararo, Marc Marquez, Aleix Espargaro, Johan Zarco, Maverick Vinales.
"Satu lagi tambahan baharu kepada peminat ialah 'Pit Lane Walk' yang dijadualkan pada 10 dan 11 Februari dari jam 6:30 hingga 7:00 malam, terhad kepada 1,000 pemegang tiket grandstand sehari.
"Empat tempat letak kenderaan premium disediakan dengan bayaran RM10 untuk kereta dan RM5 untuk berhampiran dengan grandstand utama, manakala RM5 dikenakan untuk kereta dan RM2 di kawasan P SIC dan PX. Kawasan tempat letak kereta lain adalah percuma," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pembelian tiket terawal MotoGP Malaysia yang akan berlangsung dari 10 hingga 12 November depan akan menerima potongan harga 15 peratus.
"Harga tiket bermula pada RM122.20 untuk F Grandstand, RM175.30 untuk Grandstand K1, RM293.30 untuk Grandstand Utama, RM361.30 untuk Marc Marquez Tribune, RM433.50 untuk Premier Roving, dan RM544.00 untuk Kerusi Perdana," katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan tiket menerusi gerai yang disediakan di kawasan grandstand utama atau layari laman web di www.sepangcircuit.com untuk mendapatkan secara dalam talian.
https://www.bharian.com.my/sukan ... unia-secara-percuma |
|