NIBONG TEBAL: Penduduk Kampung Sethiu di Jawi, di sini yang sebelum ini berasa lega apabila sudah setahun rumah tidak dinaiki air, diuji lagi selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat semalam.
Penduduk, Norhasila Mohd Yusop, 48, berkata penduduk di situ terkejut selepas rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat sejak petang semalam.
"Memang lega sangat tahun lalu rumah kami langsung air tidak naik, namun terkejut petang semalam tiba-tiba berlaku balik (banjir kilat).
"Hujan memang lebat sangat petang semalam sampai air parit pun naik mendadak sebelum melimpah keluar masuk ke rumah penduduk.
"Mujur rumah saya dua tingkat dan kebanyakan penduduk datang berkumpul di tingkat atas terutama warga emas serta kanak-kanak sebelum pasukan penyelamat tiba membawa mereka pindah ke pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Katanya, hanya beberapa penduduk sahaja yang berpindah ke PPS memandangkan air kembali surut beberapa jam kemudian.
"Mereka yang berpindah kerana bimbang sekiranya berlaku semula banjir kilat apatah lagi keadaan ketika itu sudah gelap.
"Saya tidak berpindah dan hanya berlindung di tingkat atas rumah," katanya yang sudah memulakan kerja-kerja membersihkan rumah.
Seorang lagi penduduk, Nor Azni Mohd Nor, 56, berkata dia sempat menyelamatkan barang serta dokumen penting dengan bantuan anaknya.
"Pada mulanya macam tidak percaya nak banjir sebab dah setahun air tidak naik, tetapi semalam mungkin sebab hujan terlalu lebat sampai sungai tidak mampu tampung akhirnya menyebabkan ia berlaku semula.
"Saya tinggal di kampung ini lebih 20 tahun dan memang sini setiap tahun banjir, namun tahun lalu masalah sudah selesai tetapi tidak sangka ia berulang lagi," katanya.
Hujan lebat yang berlarutan sejak jam 4 petang semalam menyebabkan beberapa lokasi di Seberang Perai ditenggalami air.
Ketika ini terdapat dua PPS dibuka bagi menempatkan 59 mangsa banjir iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bakap Indah dan Dewan Komuniti Kubang Menerong.