BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM23 juta bagi pembangunan semula Pasar Awam Bukit Mertajam, di sini demi keselesaan peniaga serta pengunjung.
Menteri, Nga Kor Ming, berkata pasar awam itu yang dibina sekitar tahun 1960-an sudah terlalu uzur ditambah pula pernah mengalami kebakaran sejak 10 tahun lalu.
Berikutan itu katanya, KPKT bersetuju membantu kerajaan negeri Pulau Pinang bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi membina semula pasar awam itu, sekali gus menawarkan kemudahan dan infrastruktur lebih baik kepada masyarakat negeri berkenaan.
"Pembinaan semula ini terdiri daripada lima komponen iaitu bangunan utama, tempat letak kereta bertingkat, laluan pejalan kaki termasuk yang berbumbung, zebra crossing (tempat melintas) serta landskap, kemudahan pasar sementara dan Bukit Mertajam Creative Centre.
"Semua ini menelan peruntukan berjumlah RM23 juta dan projek akan dilaksanakan tahun ini serta dijangka siap pada 2026," katanya ketika melawat dan mendengar pembentangan cadangan projek pembangunan pasar awam berkenaan, hari ini.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM23 juta bagi membina semula Pasar Awam Bukit Mertajam demi kebajikan dan kesejahteraan 240,000 penduduk di kawasan tersebut. - foto BERNAMA
Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo.
Menurut Kor Ming, pasar yang dianggarkan seluas 42,000 kaki persegi itu bakal menjadi mercu tanda terbaharu untuk warga Bukit Mertajam.
"Ketika ini terdapat seramai 240,000 penduduk yang sudah tentunya pembinaan semula pasar ini memberi banyak manfaat kepada mereka.
"Lebih 380 peniaga di sini pula dapat menjalankan perniagaan di premis lebih selesa dengan kemudahan yang akan dibina kelak," katanya.
Menurutnya, pihaknya turut bekerjasama dengan Pertubuhan Arkitek Malaysia untuk menganjurkan pertandingan bagi mencari reka bentuk terbaik pasar awam yang akan dinaik taraf.
Terdahulu, media melaporkan bahawa KPKT sedang mengenal pasti beberapa lagi 'pasar tua' di seluruh negara untuk dinaik taraf kepada pasar awam bertaraf warisan negara dalam usaha menjadikannya sebagai antara produk pelancongan terkemuka.
Kor Ming dilaporkan berkata keutamaan diberikan kepada pasar yang dianggap bersejarah atau sudah lama, termasuk yang ditimpa bencana seperti kebakaran dan hingga kini belum menjalani pembaikan semula.