|
ANGGOTA bomba dan penyelamat mengangkat mayat seorang lelaki yang ditemukan lemas di Sungai Kuala Nerus, Kampung Bukit Tumbuh, Kuala Nerus, Terengganu, semalam.
Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
7 Februari 2023, 9:13 am
KUALA NERUS: Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an ditemukan lemas selepas dipercayai terjun ke dalam Sungai Kuala Nerus di bawah Jambatan Sultan Mahmud dekat Kampung Bukit Tumbuh, di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar, berkata, mayat lelaki terbabit ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 9.10 malam.
Menurut beliau, mangsa ditemukan di dasar sungai tersebut pada kedalaman tiga meter iaitu sejauh 50 meter dari lokasi mangsa disyaki terjun.
“Terdahulu kami menerima panggilan tentang kejadian lemas ini pukul 7.40 malam sebelum sepasukan 18 anggota dan pegawai bergegas ke lokasi kejadian.
“Pasukan penyelamat di air (PPDA) yang melakukan operasi carilamat berjaya menemukan mangsa di dasar sungai dan disahkan telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, pihaknya tidak dapat mengenal pasti identiti lelaki berkenaan yang dijumpai tanpa sebarang pengenalan diri.
Katanya, mayat mangsa telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.50 malam. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... ai-ditemukan-lemas/ |
|