|
KERETA membawa diesel yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran ditahan. FOTO Ihsan KPDN Kelantan.
Bachok: Demi upah RM10 setong, dua lelaki sanggup mengambil risiko menjadi 'runner' atau penghantar diesel dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
Bagaimanapun, mereka ditahan bersama 1,450 liter diesel bernilai RM3,117.50 dengan nilai keseluruhan RM13,000 termasuk dua kereta.
Terdahulu, suspek berusia 33 dan 19 tahun itu dikesan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Kampung Baru Hujung, Repek, di sini, semalam.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, pihaknya mengekori kereta Proton Iswara Aeroback dan Proton Saga Aeroback yang dipandu serentak dalam keadaan mencurigakan.
"Kereta pertama ditahan jam 8 malam di Kampung Melawi, dan kereta kedua ditahan 15 minit kemudian selepas mendapat bantuan peronda MPV Pauh Lima, Bachok.
"Kita menemui 25 tong diesel dalam kenderaan pertama dan 30 tong dalam kereta kedua dengan setiap tong seberat 25 hingga 30 liter setong," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil soal siasat, kedua-dua suspek yang berasal dari Tumpat, mengaku mengambil upah RM10 untuk setong sebagai bayaran upah untuk mengambil diesel di tempat transit di sempadan negeri sebelum membawanya ke Tumpat dan dijual ke negara jiran.
Katanya, ini adalah modus operandi terbaru penyeludupan yang sebelum ini mengisi diesel secara terus di stesen minyak kurang 50 kilometer daripada sempadan negara.
"Kali ini, mereka sanggup meredah perjalanan lebih 100 kilometer dengan membuka pusat transit untuk mengisi minyak di satu lokasi sebelum dibawa ke sempadan negara," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... nner-seludup-diesel |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|