|
Kuala Terengganu: Bagi menjamin keselamatan pengguna, Persatuan Pemandu Bot Penambang Seberang Takir mengambil inisiatif sendiri dengan membaiki jeti yang uzur serta usang.
Isu kerosakan jeti bot penambang yang terletak berhampiran Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) di sini, itu sudah berlarutan sejak lebih setahun lalu namun tiada sebarang jalan penyelesaian.
Pengerusinya, Muhamad@mamat Ibrahim,76,berkata, lebih RM1,000 dibelanjakan untuk membaiki jeti berkenaan yang dilakukan secara gotong-royong dalam kalangan pemandu bot.
"Namun yang menjadi persoalan berapa lama jeti itu boleh bertahan walaupun sudah dibaiki sedikit keadaannya bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
"Masalah ini sudah lama berlarutan walaupun banyak kali pihaknya menyuarakan permohonan supaya ia dibaiki segera," katanya.
Menurutnya, keadaan jeti berkenaan memang sudah usang dan boleh mengancam nyawa serta keselamatan terutama kepada penumpang warga emas dan kanak-kanak.
KEADAAN jeti bot penambang yang dibaiki sementara oleh pemandu bot bagi menjamin keselamatan pengguna. FOTO Nazdy Harun
Katanya, walaupun tidak ramai yang menggunakan perkhidmatan bot penambang ini, namun ia masih menjadi pengangkutan utama bagi penduduk di Seberang Takir untuk ulang-alik ke bandar terutamanya ke PBKP atau pelancong luar yang datang untuk merasai pengalaman menaiki bot penambang.
"Kita harap pihak berkaitan dapat menyelesaikan segera masalah jeti ini kerana ia bukan sahaja boleh mengancam nyawa penumpang tetapi turut memberikan imej yang tidak baik kepada industri pelancongan negeri," katanya ketika ditemui di Jeti Seberang Takir, Kuala Nerus.
Pemandu bot, Razali Abd Ghani, 73, berkata, jeti itu mengalami kerosakan sejak November 2021 berikutan banjir dan pergerakan arus deras.
Menurutnya, struktur pada bahagian jeti terapung itu mengalami kerosakan teruk terutama pada bahagian laluan yang menyambungkan pelantar ke darat.
"Sebelum ini, kami (pemandu bot) mengambil inisiatif sendiri dengan mengeluarkan modal kira-kira RM1,000 untuk membaiki jeti berkenaan kerana bimbang keselamatan penumpang.
"Namun, kali ini kami terpaksa sekali lagi mengeluarkan perbelanjaan lebih RM1,000 untuk membaiki jeti berkenaan bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin berikutan sekarang musim cuti persekolahan dan dalam masa sama berlaku pertambahan bilangan penumpang," katanya.
Menurutnya, buat masa ini jeti kelihatan stabil selepas dibaiki namun sejauh mana ketahanannya menjadi persoalan kerana mereka bukan pakar dalam kerja membaiki jeti.
Seorang lagi pemandu bot penambang, Wan Muhamad Alif Muhaimi Othman, 28, berkata, walaupun terdapat sebuah lagi jeti yang digunakan oleh pengendali Water Taxi (WT) namun penumpang ke PBKP kebiasaannya tidak mahu mereka diambil atau diturunkan di jeti berkenaan kerana jaraknya yang jauh.
"Kami amat berharap supaya pihak berkenaan dapat menyegarkan kerja membaiki jeti ini kerana ia boleh menjejaskan imej sektor pelancongan negeri.
"Musim cuti seperti sekarang, ramai pengunjung luar yang datang untuk merasai pengalaman menaiki bot penambang namun sebaik melangkah ke jeti ramai yang was-was dengan keselamatan apabila melihat jeti berkenaan," katanya.
Justeru itu, katanya, sudah tiba masanya sebuah jeti kekal dibina dan bukannya jeti pelantar seperti yang dibina sebelum ini kerana strukturnya mudah rosak apabila ditolak arus deras.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... pu-bertahan-metrotv |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|