|
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/06BHSIMPAN4_1683339055.jpg)
Tinjauan di kawasan Hutan Simpan Bukit Lagong (Tambahan) dapati ada taman permainan. - Foto Aswadi Alias/BH
KUALA LUMPUR: Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Lagong (Tambahan), antara lima HSK sekitar ibu negara, dikhuatiri berubah gondol tidak lama lagi akibat penerokaan yang dilakukan bagi memberi laluan kepada pembinaan struktur.
Penerokaan kawasan hijau itu dipercayai bermula sejak beberapa tahun lalu dan tinjauan BH mendapati memang ada beberapa struktur bangunan dalam HSK Bukit Lagong (Tambahan), sekurang-kurangnya dua premis komersial bagi tujuan perniagaan dan sebuah dewan komuniti.
Hasil tinjauan turut mendapati ada papan tanda bertulis 'Hutan Simpanan Kekal, Dilarang Masuk' yang terletak dalam kawasan berpagar sebuah premis. Ia sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana premis komersial boleh dibina dalam kawasan hutan simpan itu.
Aktivis alam sekitar bimbang, andai tidak ditangani sebaiknya, keluasan HSK di sekitar ibu kota Kuala Lumpur terus kritikal apabila kini hanya tinggal kira-kira 85 hektar untuk dijadikan kawasan hijau yang berfungsi sebagai kawasan 'penyerap' kepada perubahan iklim.
Selain HSK Bukit Lagong (Tambahan), empat lokasi lain kawasan hijau simpanan di ibu negara ialah Hutan Simpan Bukit Nanas, Bukit Sungei Puteh dan Sungai Besi, selain terbaru Hutan Simpan Sungai Besi (Tambahan).
Mengikut rekod, HSK Bukit Lagong (Tambahan) berkeluasan kira-kira 2.10 hektar yang diwartakan pada 1962.
Gusar nasib hutan simpan
Menurut Sahabat Alam Malaysia (SAM), mereka juga gusar dengan nasib Hutan Simpan Bukit Nanas, yang terletak di tengah bandar raya kerana ia disifatkan rapuh berikutan banyak pemaju mahu membangunkan kawasan itu berikutan nilai ekonomi yang tinggi.
Bagi HSK Bukit Lagong (Tambahan), Pegawai Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman, mendesak kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menjelaskan statusnya.
"Masih ada papan tanda menyatakan HSK Bukit Lagong (Tambahan) ini adalah hutan simpan, namun ada beberapa pembangunan di dalamnya. Sepatutnya HSK ini jadi hutan perlindungan dan tidak dibenarkan wujud aktiviti di dalamnya.
"Kami terkejut apabila hasil tinjauan mendapati ia seolah-olah bukan lagi hutan. Kami kecewa kerana HSK Bukit Lagong (Tambahan) ini tidak berfungsi sebagai HSK disebabkan ada penerokaan sejak beberapa tahun lalu.
"Jadi, kami minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Nik Nazmi Nik Ahmad) untuk pergi tinjau kawasan itu kerana HSK di Wilayah Persekutuan di bawah bidang kuasa menteri.
"Adakah HSK Bukit Lagong (Tambahan) ini sudah ditukar status, sedangkan menurut Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), ia masih hutan simpan," katanya kepada BH.
Hutan Simpan Bukit Lagong (Tambahan) terletak dalam Wilayah Persekutuan, namun ia bersebelahan Hutan Simpan Bukit Langgong di bawah Selangor.
Berdasarkan Seksyen 10, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), semua kawasan HSK dikelaskan sama ada untuk tujuan Hutan Pengeluaran, Subseksyen 10(1)(a) Hutan Pengeluaran, manakala Subseksyen 10(1)(b-l) dikelaskan sebgai Hutan Perlindungan.
Di Wilayah Persekutuan, semua HSK dikelaskan sebagai Hutan Perlindungan di mana tiada sebarang aktiviti pembangunan dibenarkan di si itu. Ketika diwartakan, empat HSK itu asalnya seluas 106.1 hektar, namun susut kepada 68.27 hektar dan semakin menyusut kepada 85 hektar.
Semalam, BH melaporkan JPSM bertekad menambah sekurang-kurangnya 90 hektar kawasan hutan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk diwartakan sebagai HSK dalam masa terdekat bagi meningkatkan kawasan hijau atau 'green lungs' di ibu kota.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Ridza Awang, berkata kawasan HSK seluas 85 hektar di Kuala Lumpur tidak mencukupi kerana ia hanya menyumbang tujuh peratus daripada keseluruhan 2,066 hektar kawasan hutan sedia ada.
Sementara itu, Mior Razak berkata, pihaknya ada menuntut jawapan daripada pihak berwajib sebelum ini berhubung status HSK di Bukit Lagong, namun sehingga kini masih belum menerima maklum balas.
Dengan wujudnya pembangunan infrastruktur dalam HSK Bukit Lagong (Tambahan) itu, pihaknya menjangkakan usaha pemulihan sukar dilaksanakan, menyebabkan kerajaan perlu menggantikannya dengan jumlah keluasan sama atau lebih besar di tempat lain.
Bagi Hutan Simpan Bukit Nanas pula, beliau berkata, kawasan itu yang pada asalnya berkeluasan kira-kira 17 hektar, kini mengecil kepada 9.37 hektar akibat pembangunan yang pernah dilaksanakan lebih 10 tahun lalu.
"Kami dimaklumkan beberapa syarikat pemaju sedang mengintai kawasan itu. Berikutan HSK di bawah kuasa menteri, bolehkah menteri memberi jaminan Hutan Simpan Bukit Nanas yang juga hutan dara serta tidak pernah diusik ini akan dipertahankan?
"Hutan Simpan Bukit Nanas unik kerana ia hutan asli terletak dalam pusat bandar. Jika ke mana-mana ibu kota lain, sukar untuk melihat ada hutan asli di tengah bandar, menyebabkan ia amat penting untuk dipertahankan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... l-dikhuatiri-gondol |
|