|
Mohamad Azwan dan adiknya, Nur Asyikin gembira dapat memulakan hari pertama persekolahan mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong, di sini, hari ini. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Kuala Krai: Dua beradik yatim piatu dari Kampung Slow Pok Long, Dabong ceria apabila memulakan hari pertama persekolahan mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong, hari ini.
Mohamad Azwan Abdullah, 16, berkata dia dan adiknya, Nur Asyikin Hadi, 15, begitu teruja dapat kembali bersekolah dan berjumpa dengan rakan-rakan baharu.
Menurutnya, dia amat bersyukur kepada Tuhan kerana mereka dapat kembali menimba ilmu berkat bantuan pelbagai pihak.
"Dalam teruja, kami berasa kekok juga, namun rakan dan cikgu menerima kehadiran kami dengan baik menjadikan rasa segan mula hilang, malah ada cikgu yang berpesan jika ada masalah terus datang berjumpa mereka.
"Wang bantuan yang disumbangkan orang ramai akan digunakan sebaik mungkin untuk pendidikan saya dan adik," katanya ketika ditemui di SMK Dabong, di sini.
Terdahulu, dua beradik berkenaan ditemani Pengerusi Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed yang membantu urusan kemasukan mereka ke sekolah berkenaan.
Mohamad Azwan berkata, dia dan adiknya akan belajar bersungguh-sungguh dan menamatkan persekolahan mereka.
"Kami cuba buat yang terbaik dan akan ke sekolah setiap hari serta tidak mahu fikir apa-apa lagi kerana sedar ramai yang prihatin dan sayangkan kami serta mahu melihat saya dan adik berjaya," katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Dabong, Suhaimi Ab Ghani berkata, pihaknya berharap Mohamad Azwan dan Nur Asyikin mengambil peluang untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depan mereka.
"Kami akan cuba sedaya-upaya membantu dua beradik ini dan pada masa sama, guru-guru juga dapat memberi perhatian sebaiknya kepada mereka.
"Selain itu, pihak sekolah turut memberi kaunseling dan motivasi kepada mereka supaya lebih bersemangat," katanya.
Media sebelum ini melaporkan dua beradik yatim piatu itu menjadikan pondok kecil serta usang sebagai tempat mereka berteduh daripada hujan dan panas sejak lebih lima tahun lalu.
Dua beradik itu terpaksa tinggal dalam keadaan serba kekurangan selepas ibu bapa mereka meninggal dunia dan kini hanya menumpang kasih datuk serta nenek yang sudah tua.
Sejak kematian ibu bapa, Mohamad Azwan mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga, namun adik bongsunya, Mohd Aliff, 12, kini dijaga keluarga sebelah arwah bapanya disebabkan kesempitan hidup.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -kembali-bersekolah |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|