View: 283|Reply: 0
|
[Kelantan]
Harga ikan naik kerana tangkapan kurang, banyak obor-obor
[Copy link]
|
|
Tinjauan dilakukan di Pasar Besar Siti Khadijah di sini, mendapati bekalan ikan di Kelantan berkurangan menyebabkan harga meningkat lebih 10 peratus sejak pertengahan Ramadan lalu sehingga hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kota Bharu: Masalah kekurangan bekalan menyebabkan harga ikan meningkat lebih 10 peratus di Kelantan sejak pertengahan Ramadan lalu sehingga hari ini.
Keadaan cuaca panas menyebabkan hasil tangkapan nelayan tidak banyak berikutan laut turut dipenuhi dengan obor-obor.
Tinjauan Harian Metro di Pasar Besar Siti Khadijah, di sini, mendapati harga ikan selayang meningkat antara RM12 hingga RM14 sekilogram berbanding hanya RM8 dan RM10 sekilogram sebelum ini.
Manakala harga ikan kembung pula meningkat ke RM20 hingga RM22 sekilogram berbanding RM18 sebelum ini, ikan selar RM24 sekilogram dan ikan tongkol RM10 sekilogram berbanding masing-masing RM20 dan RM8 sebelum ini.
Peniaga, Ismail Sulaiman, 65, berkata harga ikan meningkat sejak Ramadan lalu berikutan bekalan yang kurang disebabkan hasil tangkapan tidak banyak sekali gus mengakibatkan peniaga terpaksa menjual ikan kotak.
"Ketika Ramadan kebanyakan peniaga menjual ikan kotak kerana ikan segar hasil tangkapan nelayan tempatan kurang, malah ada masanya tidak ada bekalan langsung.
"Untuk memenuhi permintaan pembeli, peniaga terpaksa menjual ikan kotak yang harganya sedikit murah. Apabila ada ikan segar, kami akan menjual bekalan ini.
"Namun, harga ikan segar meningkat berikutan bekalan yang kurang, tetapi permintaan daripada pengguna tinggi," katanya yang berniaga ikan sejak lebih 30 tahun lalu.
Peniaga lain, Sharipuddin Mohd Nawi, 33, mengakui bekalan ikan kurang sejak kebelakangan ini berikutan kehadiran obor-obor yang banyak.
Katanya, keadaan itu menyebabkan ikan kurang sekali gus memberi kesan kepada nelayan kecil dan laut dalam yang turun ke laut.
"Saya turut turun ke laut dengan bot sendiri untuk mencari hasil, namun tangkapan berkurangan sangat banyak. Jadi pada masa ini saya menjual sotong yang ditangkap sendiri.
"Kalau tidak ada ikan segar, saya tidak akan jual kerana saya tidak ambil bekalan ikan kotak berikutan pelanggan mahu ikan segar," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ng-banyak-obor-obor |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|