View: 234|Reply: 0
|
[Johor]
'Buta kedua mata selepas kemalangan, ini hadiah Allah SWT' - Masitah
[Copy link]
|
|
(GAMBAR KIRI) NIK Nazri Abidin setia disisi Masitah yang kini buta kedua matanya. Masitah sebelum terbabit dalam kemalangan(GAMBAR KANAN). FOTO Ihsan Masitah Mohd Affandy
Gelang Patah: "Saya tak anggap ujian ini sebagai bala atau musibah tetapi hadiah daripada Allah SWT dan tanda sayangNya dengan cara yang berbeza," kata usahawan, Masitah Mohd Affandy.
Masitah, 32, dahulunya normal namun buta kedua matanya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 21 Mac lalu iaitu dua hari sebelum Ramadan.
Berikutan kemalangan itu, Masitah dirawat selama 24 hari di wad hospital namun apa yang berlaku tidak menyebabkannya murung sebaliknya terus positif dalam meneruskan kehidupan.
Aura positifnya dapat dilihat menerusi perkongsian video di TikTok dengan rata-rata netizen kagum dan memuji Masitah yang nampak tenang walaupun selepas berdepan ujian hebat.
Mengimbas detik hitam itu, Masitah berkata, kemalangan berlaku ketika dia menaiki kereta dipandu oleh kakitangannya dan suaminya, Nik Nazri Abidin, 36, tiada bersama kerana ada urusan di Batu Pahat, Johor.
"Kejadian berlaku ketika saya dalam perjalanan pulang dari Sabak Bernam, Selangor ke Johor Bahru, Johor selepas kereta dinaiki saya hilang kawalan sebelum terbabas ke lori di laluan bersebelahan.
"Saya sedar selepas kemalangan cuma serta merta buta dan berulang kali tanya kepada kakitangan apa yang berlaku.
"Di hospital, doktor beritahu suami ada kebarangkalian untuk saya melihat tetapi 20 peratus saja dan peratusan semakin menurun hingga disahkan buta sepenuhnya.
"Selepas dapat tahu, saya beritahu suami yang saya okay saja, malah selama 24 hari di wad, hanya 12 hari saja saya berehat.
"Selebihnya, saya buat kerja macam biasa walaupun tak berada di pejabat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Masitah mengakui sedih dengan apa yang berlaku namun menganggap ia bukan pengakhiran buatnya, malah bersyukur kerana diberi peluang kedua untuk terus hidup.
"Tipu kalau saya katakan tak sedih langsung namun hidup perlu diteruskan dan saya percaya Allah SWT tak ambil nyawa saya kerana ada tugas besar menanti buat saya di hadapan.
"Ikutkan, saya memang tak dapat dibantu kerana masalah membabitkan saraf mata jadi saya reda dan selepas buta, saya pernah mimpi dapat melihat tetapi anggap ia rezeki yang Allah SWT beri walaupun bukan dalam dunia nyata.
"Alhamdulillah, suami sentiasa ada di sisi malah dia kini yang memasak dan buat kerja rumah jadi saya berdoa semoga Allah beri ganjaran baik buatnya," katanya.
Berhubung kisahnya yang mendapat perhatian ramai, Masitah tidak menyangka video dimuat naik di TikTok membuka mata banyak pihak terhadapnya.
"Sebelum ini, saya lebih aktif di Facebook (FB) namun kakitangan yang syorkan muat naik di TikTok sebagai tanda kemunculan semula.
"Terkejut juga apabila video saya meraih tontonan tinggi bukan hanya dalam kalangan netizen tetapi juga pihak media kerana jujurnya pernah impikan untuk ditemubual cuma sedar diri tak hebat mana.
"Kini, Allah SWT kabulkan doa saya walaupun selepas saya sudah tidak dapat melihat.
"Jadi, bagi mereka yang senasib, marilah kita sangka baik dengan Allah SWT kerana ujianNya adalah untuk melihat bagaimana kita menerimanya sama ada suka, berlapang dada atau sebaliknya," katanya.
Sementara itu, suaminya, Nik Nazri berkata, apa yang berlaku tidak mengubah perasaan cintanya terhadap isteri malah menambah rasa sayang.
"Kehidupan perlu diteruskan dan saya tak pernah terlintas untuk cari wanita lain hanya kerana keadaannya (isteri) begitu atau putus asa.
"Bagi saya, dia (isteri) masih orang yang sama, tiada kekurangan pun cuma tak dapat melihat, itu saja.
"Jadi, biar saya menjaganya dan memang itu yang dilakukan daripada awal dia bangun hingga tidur," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... h-allah-swt-masitah
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|