View: 219|Reply: 0
|
[Johor]
'Saya tebas pokok bendi sebab geram dengan permainan orang tengah'
[Copy link]
|
|
AMY menebas paruh daripada pokok bendi yang sedang mengeluarkan hasil di kebunnya seluas dua ekar
Tangkak: Kecewa dipermainkan pemborong yang menawarkan harga belian terlalu rendah untuk bendi dari kebunnya menyebabkan seorang petani nekad menebas semua pokok sayur itu.
Luahan kekecewaannya itu dapat dilihat menerusi perkongsian video di TikTok dengan rata-rata netizen bersimpati selain ada yang memberikan cadangan untuknya termasuk menjual bendi itu di dalam talian.
Muhd Rahimi Osman, 34, atau lebih mesra dipanggil Amy berkata, separuh daripada pokok bendi yang sedang mengeluarkan hasil di kebunnya seluas dua ekar (kira-kira 0.809 hektar) di Kampung Sialang, di sini, itu sudah ditebasnya.
"Saya tebas sebab harganya jatuh terlalu murah sekitar 80 sen saja sekilogram oleh pemborong sedangkan di pasaran runcit kita tengok harganya tinggi.
"Mereka (pemborong atau orang tengah) di seluruh Tangkak seolah-olah mempermainkan petani dengan meletakkan harga yang sebegitu.
"Sebelum ini harganya antara RM5 hingga RM8 sekilogram. Jauh sangat berbeza. Saya difahamkan keadaan ini berlaku disebabkan lambakan sayur-sayuran yang diimport dari Thailand," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, harga murah itu langsung tidak berbaloi berbanding kos dikeluarkan untuk mengusahakan kebun sayur ketika ini.
Ini termasuk, katanya, baja yang mahal, kos bahan api dan upah pekerja asing untuk penyelenggaraan kebun serta memetik hasil.
"Bendi kena petik apabila sampai masa sekitar 40 hari selepas ditanam supaya tidak rosak dan keras. Dalam sehari ratusan kilogram perlu dipetik.
"Katakanlah dapat petik hasil 100 kilogram didarab dengan 80 sen sekilogram, baru dapat RM80. Gaji untuk dua pekerja asing masing-masing setiap seorang RM80, dah jadi RM160 sehari untuk mereka.
"Jadi memang tak balik modal...air untuk tanaman lagi, enjin pam, ubat, meracun dan sebagainya semua itu kos. Biasa harga tak teruk, paling rendah pun RM3 sekilogram," katanya yang berkebun sejak kecil.
Katanya, disebabkan geram, dia ingin memusnahkan habis semua pokok bendi tetapi jika ada orang datang ke kebunnya waktu ini dia berikan percuma.
Katanya, setakat ini tidak ramai yang mahu hasil dari pokok bendi ditebas itu kemungkinan bimbang ia sudah diracun, cuma ada segelintir orang kampungnya yang ambil.
Menurutnya, selepas dimusnahkan tanah kebun itu perlu dibajak semula dan dia belum membuat keputusan untuk menggantikan dengan tanaman apa kerana bimbang terus menanggung kerugian.
Sementara itu, rakannya juga petani, Muhammad Hafiz Ali, 27, pula berkata, sayur lain juga diambil murah oleh pemborong.
"Kami mendapat tahu ia berlaku kerana sayur-sayuran dibawa masuk ke Malaysia dari Thailand adalah lebih murah berbanding hasil petani tempatan.
"Bayangkan timun pun jatuh harga hingga 30 sen sekilogram," katanya.
Susulan dihadapi golongan petani itu, harapan mereka supaya kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan diterajui Datuk Seri Mohamad Sabu untuk membantu.
Muhammad Hafiz berkata, kerajaan perlu membantu dari segi baja yang sekurang-kurangnya boleh menolong petani mengurangkan kos berkebun, selain mengehadkan atau menyekat sayuran import yang jelas mengganggu kelangsungan pasaran hasil tempatan.
Terdahulu kisah Amy tular di media sosial apabila video memaparkan dia menebas pokok bendi disebabkan kecewa dengan harga terlalu murah.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... mainan-orang-tengah |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|