|
SELAYANG: Dua beranak yang juga ahli lembaga pengarah sebuah syarikat pembaikan jentera berat, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, daripada dua pertuduhan mencemar Sungai Gong dekat Rawang, kira-kita tiga tahun lalu.
Hakim, Osman Affendi Mohd Salleh, memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Chai Kin Sang, 65, dan anak lelakinya, Chai Wern Teik, 34, di akhir kes pendakwaan.
"Mahkamah mendapati tiada keterangan kredibiliti yang menunjukkan kedua-dua tertuduh melupuskan atau membuang apa-apa bahan berbahaya ke dalam alur air yang mengalir ke Sungai Gong.
"Oleh itu, mahkamah melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh tanpa dipanggil untuk membela diri," katanya hari ini.
Dalam prosiding hari ini, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisak Hassni, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos, Sakdiyah Saleh dan Thomas Chin Shiaw Wei.
Pada 3 November 2020, Kin Sang dan Wern Teik didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan itu.
Mengikut pertuduhan pertama, dua beranak itu didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya daripada premis FG Autoparts Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua tertuduh juga didakwa dengan niat bersama melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari bengkel serupa ke dalam alur air yang akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis di Lot 16273 Jalan Sungai Bakau, Batu Arang, Rawang antara 17 hingga 19 Oktober 2020.
Seramai 21 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 25 Mei 2021.
Sebelum ini, media melaporkan henti tugas keempat-empat loji itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.
https://www.bharian.com.my/berit ... ari-air-sungai-gong |
|