View: 189|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Hantar harga di 'inbox' boleh menjurus kepada penipuan
[Copy link]
|
|
Kuala Lumpur: Tindakan peniaga dalam talian yang tidak meletakkan harga di iklan sebaliknya meminta pembeli menghantar mesej peribadi (inbox) boleh menjurus kepada penipuan.
Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik) 2012 menetapkan peniaga dalam talian yang menjalankan perniagaan di tapak web dan pasar dalam talian perlu melakukan pendedahan maklumat sebagaimana ditetapkan.
Katanya, pihaknya mempunyai peruntukan undang-undang untuk menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang berkenaan.
"Peraturan berkenaan mewajibkan peniaga mendedahkan lapan maklumat utama iaitu nama peniaga, nombor pendaftaran perniagaan, alamat emel serta nombor telefon, perihal ciri utama barang atau perkhidmatan, harga barang termasuk kos penghantaran.
"Selain itu, wajib mempamerkan kaedah pembayaran, terma atau syarat dan anggaran masa penghantaran," katanya dalam satu kenyataan kepada Harian Metro, hari ini.
Katanya, Facebook adalah laman media sosial dan tidak dikategorikan secara khusus sebagai tapak web ataupun pasar dalam talian.
"Namun pengguna perlu berhati-hati dan bijak dalam membuat keputusan sebelum melakukan apa-apa persetujuan untuk membuat pembelian atau transaksi melalui saluran urus niaga.
"Terutamanya melalui laman media sosial kerana dikhuatiri boleh diperdaya oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pusat Pilihan Pengguna Malaysia, Tarmizi Anuwar berkata, setiap peniaga dalam atau luar talian tetap termaktub kepada Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).
Menurutnya, justeru itu, tindakan segelintir peniaga dalam talian yang tidak meletakkan harga jualan di setiap iklan perniagaan mereka di sosial media tidak sepatutnya berlaku.
"Saya melihat perkara ini berleluasa di pelbagai medium media sosial. Jika peniaga tidak meletakkan harga (pada iklan jualannya) tidak mustahil boleh berlaku penipuan walaupun kita percaya peniaga berhak menentukan harga berdasarkan perbincangan bersama pembeli (selepas meletakkan harga pasaran sebenar).
"Kita juga sedia maklum banyak isu apabila kita menghantar mesej peribadi kepada pihak terbabit, kadang-kadang diminta menekan pautan diberi dan kemungkinan boleh ditipu atau akaunnya digodam," katanya.
Katanya, walaupun ada yang mengatakan tindakan tidak meletakkan harga jualan itu sebagai teknik pemasaran tetapi ia tetap wajar dilakukan dan sebagai peniaga mereka perlu meletakkan harga seperti yang dilakukan peniaga lain di luar talian.
"Memang perlu paparkan harga supaya pengguna tahu harga jualan dan pengguna juga perlu lebih bijak untuk mengelakkan daripada situasi seperti itu berlaku (penipuan).
"Mungkin (tidak meletakkan harga) adalah salah satu teknik pemasaran tetapi saya berpandangan kalau budaya itu tidak dibendung ada kemungkinan besar boleh berlaku penipuan.
"Tawar menawar itu terpulang kepada dua pihak berkenaan melalui perbincangan lanjut tetapi harga asalnya mesti kita (pembeli) tahu dulu (diletakkan bersama iklan jualan)," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... rus-kepada-penipuan |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|