View: 259|Reply: 0
|
[Johor]
'Tak fikir malu, asal dapat jeti baharu'
[Copy link]
|
|
SEORANG nelayan menunjukkan jeti kayu yang reput di Desa Sri Banang, Minyak Beku. FOTO Ali Iqbal.
Batu Pahat: "Kami terpaksa tebal muka berjumpa pihak atasan semata-mata mengharap jeti baharu dibina. Sudah berapa kali kami turun naik pejabat, malah juga kerap bangkit isu ini dalam mesyuarat tapi sehingga kini tiada tindakan susulan. diambil," kata Amran Jantan, Ketua Komuniti Perikanan yang juga wakil kepada nelayan di Desa Sri Banang, Minyak Beku, di sini.
Menurut Amran yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Desa Sri Banang, perkara itu pernah disuarakan sejak lebih 10 tahun lalu bagi membolehkan nelayan dari kawasan itu mendarat hasil tapi malangnya, ia seolah-olah tidak dipedulikan pihak berwajib.
Katanya, paling membimbangkan apabila penduduk terpaksa membina sendiri jeti daripada kayu yang kini semakin uzur dan menunggu masa untuk rebah.
"Saya menyuarakan hasrat ini bagi pihak lebih 50 nelayan yang lama mengharapkan jeti baharu dibina. Kami bimbang kerana beberapa minggu lalu, ada nelayan terjatuh disebabkan jeti reput hingga luka di kepala.
"Sebab itu, setiap kali mesyuarat agung persatuan nelayan daerah Batu Pahat, isu ini saya bangkitkan hingga tebal muka. Kami seolah-olah dianaktirikan kerana beberapa kawasan yang mana bilangan nelayan kurang daripada kawasan kami, sudah mendapat jeti baharu.
"Kadang-kala kami berasa seperti pengemis, walhal apa yang disuarakan semata-mata memikirkan keselamatan nelayan supaya perkara tidak diingini berlaku.
"Apabila ditanya, mereka menjawab tiada peruntukan tetapi ada jeti di kawasan lain dalam proses untuk dinaiktaraf," katanya ketika ditemui.
Jelasnya lagi, penduduk juga sudah mengemukakan surat permohonan kepada pihak berkenaan seperti dikehendaki tapi sehingga kini belum ada kata putus daripada mereka.
Menurutnya, lokasi baharu jeti yang dipohon amat sesuai berbanding yang dibina dengan kayu kerana dapat mengelak arus dari Sungai Batu Pahat.
"Jadi tapak baharu ini bukanlah jauh dari lokasi pendaratan bot sekarang. Ia amat sesuai kerana boleh elak gelombang terutama bila air pasang," katanya.
Seorang nelayan, Paiman Zainal, 64, berkata mereka kesal kerana suara komuniti di kawasan ini dipinggirkan sedangkan ia satu keperluan yang wajar ditunaikan.
"Saya bekerja nelayan sejak 54 tahun lalu dan mengharapkan suara kami di sini didengari pihak berwajib. Jeti yang ada sekarang sudah tidak selamat untuk kami membawa hasil tangkapan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... l-dapat-jeti-baharu |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|