View: 331|Reply: 0
|
[Johor]
Menangis lihat kereta peninggalan arwah ayah dihempap pokok kelapa
[Copy link]
|
|
Bahagian hadapan rumah Siti Roziha runtuh dan menghempap kereta arwah ayahnya. FOTO Ali Iqbal
Batu Pahat: "Sedih bila melihat kereta arwah abah dihempap bumbung dan kayu. Itulah harta peninggalan abah selama ini," kata Siti Roziha Sunar, 34, selepas rumah keluarganya di Kampung Parit Lapis Dalam, Parit Raja, dekat sini, rosak akibat diterbang ribut awal pagi tadi.
Menceritakan kejadian itu, Siti Roziha berkata, sekitar jam 1.20 pagi, dia sekeluarga terdengar bunyi seakan-akan 'siulan' dari luar rumah dan disusuli tiupan angin kuat menyebabkannya tidak dapat tidur.
Katanya, tidak lama kemudian, dia terdengar bunyi seperti pokok tumbang di belakang rumahnya.
"Pada mulanya, saya ingat pokok tumbang memandangkan belakang rumah memang ada pokok kelapa. Apabila membuka pintu, saya dapati belakang rumah arwah abah, Sunar Taulan sudah roboh dan menghempap keretanya.
"Kami adik beradik hanya menitiskan air mata melihat kereta arwah abah dihempap. Baru minggu lalu kami mengadakan doa selamat untuk pemergian abah 100 hari," katanya ketika ditemui.
Difahamkan, angin kencang melanda beberapa kawasan di Batu Pahat termasuk Tongkang Pecah, Sri Gading, Parit Raja, Rengit, Sungai Suloh dan Seri Merlong menyebabkan lebih 30 buah rumah rosak dengan bumbung tercabut.
Seorang lagi mangsa, Mariam Mohd Deni, 70, berkata dia bersama anaknya, Siti Hariza Mustafa, 37, tidak henti-henti iqamat serta bertasbih kerana rumahnya di Kampung Sungai Punggor Laut, Rengit bergegar.
Menurutnya, dia berada dalam ketakutan memandangkan hanya dua beranak tinggal di rumah itu sebelum terdengar bunyi kuat seperti objek jatuh bahagian di hadapan.
"Kami dua beranak terus berdoa sambil menitis air mata memohon supaya selamat dan tidak terjadi sesuatu perkara tidak diingini ke atas kami.
"Nak keluar pun tak berani kerana bimbang keselamatan, saya sempat menjenguk melalui tingkap dan melihat pokok kelapa di hadapan rumah berputar-putar.
"Memang kuat angin ketika itu dan lebih kurang jam 2.30 pagi, barulah reda. Kami berdua kemudian keluar melihat bahagian depan rumah sudah tumbang manakala bumbung di ruang tamu sudah tercabut.
"Air melimpah masuk ke dalam rumah. Banyak peralatan basah akibat terkena hujan," katanya yang berkongsi pengalaman pertama menimpa rumahnya sejak tinggal di kawasan itu lebih 40 tahun.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... hempap-pokok-kelapa |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|