CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 253|Reply: 0

[Negeri Sembilan] Izzat rindu mama

[Copy link]
Post time 24-6-2023 10:25 AM | Show all posts |Read mode

IZZAT Izzuddin yang menghidap autisme sejak berusia empat tahun merindui arwah ibunya yang meninggal dunia pada Februari lalu. FOTO ihsan Nurul Akmal Zainuddin

Seremban: "Mama (ibu) dengan Allah SWT... di kubur mama." Demikian luahan sayu pemuda autisme, Izzat Izzuddin Zainuddin, 31, yang merindukan ibunya.

Ibunya, Siti Rahmah Muhd Noor, 70, meninggal dunia pada Februari lalu akibat serangan jantung dan pemergian insan tersayang itu memberi kesan mendalam kepada pemuda istimewa berkenaan.

Video Izzat Izzudin yang bersembang dengan kakak, Nurul Akmal, 38, mengenai ibu mereka mendapat perhatian netizen di TikTok yang turut merasai kesedihan pemuda berkenaan.

Berkongsi kisah itu, kakaknya, Nurul Akmal berkata, pemergian ibu ke negeri abadi sangat memberi kesan kepada Izzat Izzudin yang didiagnosis autisme tahap sederhana ketika berusia empat tahun.

Menurutnya, selain itu Izzat Izzuddin yang juga satu-satunya adiknya turut mempunyai masalah jantung berlubang sejak kecil.

"Izzat sangat rapat dengan arwah mama dan tidak pernah berpisah sejak kecil. Izzat masih berperangai seperti kanak-kanak biarpun usia sudah dewasa.

"Ketika awal pemergian mama dulu, hampir setiap hari kami bawa Izzat ke 'rumah' mama. Izzat tahu mama sudah tiada tetapi setiap kali rindu, dia akan tanya mana mama pergi dan itu menghibakan saya," katanya yang tinggal di Taman Senawang Indah, di sini.

Nurul Akmal berkata, sejak ibu mereka meninggal dunia, dia menyedari Izzat Izzuddin seolah-olah berubah menjadi lebih cepat marah dan kadang-kadang pernah memukulnya biarpun tidak kuat.

Katanya, justeru, dia dan bapa Zainuddin Mohd Talha, 68, yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan cuba mengawal emosi Izzat Izuddin dengan pelbagai cara.

"Berhadapan dengan insan istimewa ini sangat mencabar terutama apabila sudah dewasa. Izzat boleh menguruskan dirinya cuma emosinya agak terganggu selepas mama meninggal dunia.

"Sekarang Izzat makan ubat semula dan dalam masa sama kami berusaha supaya dia tidak hanyut dengan kesedihan. Pendekatan kita memainkan peranan dalam membantu emosi orang seperti Izzat.

"Kami berusaha menceriakannya dan selalu bawa dia keluar untuk meneroka dan bersama masyarakat. Kami tidak mahu dia terkurung di rumah saja kerana itu juga tidak bagus untuk kesihatan emosi," katanya.

Berhubung videonya yang mendapat perhatian, Nurul Akmal berkata, dia berkongsi video itu dengan izin adik kesayangannya serta mahu menyimpan memori bersama keluarga.

"Sejak arwah mama meninggal dunia, saya ambil keputusan untuk rakam kenangan bersama keluarga kerana sebelum ini kami jarang berbuat demikian.

"Sangat menyedihkan apabila kami hanya ada satu saja video dengan mama yang menjadi pengubat rindu. Sebab itu saya suka kongsi video di TikTok," kata penjawat awam itu.

Menurutnya, dia mengambil alih tugas ibu di rumah termasuk memberi sepenuh perhatian kepada Izzat Izzudin.

"Boleh cakap sekarang saya menjadi 'ibu' untuk Izzat yang masih dalam fasa untuk menyesuaikan diri tanpa mama.

"Seandainya saya bertemu jodoh nanti saya mahu bakal suami menerima Izzat tetapi jika belum ada rezeki saya tidak kisah dan akan menjaga Izzat dengan baik," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/2023/06/980704/izzat-rindu-mama
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-12-2024 06:23 PM GMT+8 , Processed in 0.224062 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list