View: 276|Reply: 0
|
[Terengganu]
10,000 baju Melayu, songket lama, ukiran kayu hangus
[Copy link]
|
|
Kuala Terengganu: Sebanyak 10,000 pakaian membabitkan baju Melayu, jubah dan kurta, songket lama serta pelbagai ukiran kayu musnah dalam kebakaran yang mengakibatkan kerugian lebih RM3 juta.
Bangunan Seni Kayu Warisan menempatkan semua barangan berkenaan milik seorang ahli perniagaan, Burhan Ashari, 68, itu, dikatakan terbakar kira-kira 10 malam tadi.
Burhan yang tinggal tidak jauh dari lokasi kejadian berkata, ketika kejadian, dia makan malam bersama tiga pekerja di sebuah restoran di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, kira-kira tiga kilometer dari lokasi.
"Saya terima panggilan daripada pengusaha kedai makan berhampiran lokasi memberitahu mengenai kebakaran sebelum segera pulang.
"Sebaik tiba, saya mendapati api marak membakar tingkat atas bangunan dan berusaha membawa keluar sebuah kereta milik saya, MG Rover dan tiga motosikal milik pekerja, namun gagal.
"Berkemungkinan besar kebakaran ini dipercayai berpunca daripada litar pintas," katanya yang juga anak kepada pengusaha songket terkenal, Nor Atikah Songket.
Bangunan Seni Kayu Warisan milik Burhan Ashari di Kampung Paloh Sungai Kiat, terbakar mengakibat kerugian lebih RM3 juta. FOTO ZAID SALIM
Katanya, bangunan berusia lebih 50 tahun dahulunya dijadikan sebagai bengkel dan perusahaan songket milik arwah ibu, sebelum diambil alih untuk dijadikan sebagai pejabat, bengkel dan pusat pameran seni ukiran kayu kira-kira 10 tahun lalu.
Menurutnya, terdapat banyak bahan mudah terbakar kerana bahagian atas adalah stor bagi menyimpan kira-kira 10,000 pasang stok baju Melayu, jubah dan kurta, lebihan jualan Aidilfitri lalu milik anaknya, Mohd Amir Imran, 36,.
"Bahagian bawah pula dijadikan pejabat dan pameran ukiran kayu untuk pasaran serta songket lama peninggalan arwah ibu.
"Saya bersyukur tiada kemalangan jiwa kerana ketika kejadian saya bersama tiga pekerja yang tinggal di bangunan ini baru sahaja keluar untuk makan malam.
"Saya juga bersyukur kerana bengkel yang menempatkan pelbagai alatan dan mesin serta kayu cengal di bahagian belakang bangunan terselamat daripada kebakaran," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, 36 anggota dari empat BBP iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Jalan Kota dan Kuala Berang terbabit dalam operasi pemadaman.
Katanya, rumah jenis sementara kekal dua tingkat itu terbakar 100 peratus.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -ukiran-kayu-hangus |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|