Edited by apech at 9-1-2025 03:38 PM
JOHOR BAHRU: Polis Johor akan melakukan siasatan secara menyeluruh bagi kes bunuh dalam kejadian tembakan di hadapan sebuah kedai makan di Taman Setia Indah, Johor Bahru, kira-kira 12 tengah hari 8 Januari. Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata satu pasukan khas daripada Jabatan Siasatan Jenayah ditubuhkan bertujuan menyiasat dan mengenal pasti individu yang terbabit. Datuk Kumar turut menasihatkan masyarakat tidak panik, selain memberi jaminan bahawa insiden yang berlaku adalah kes terpencil yang sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan isu keselamatan serta ancaman kepada negeri Johor.
Beliau berkata punca kematian dan motif kejadian yang membabitkan mangsa lelaki tempatan berusia 40 tahun itu juga masih dalam siasatan. “Siasatan awal mendapati terdapat empat kesan tembakan pada badan mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. “Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan kegusaran kepada awam,” katanya. Sementara itu satu rakaman video televisyen litar tertutup (CCTV) dipercayai membabitkan kejadian tembakan yang berlaku di hadapan restoran di Taman Setia Indah itu tular di media sosial.
Malah, gambar tangkap layar seorang lelaki yang memakai topi keledar dan berbaju biru muda serta memakai beg turut tular. Menerusi video selama 30 saat itu seorang lelaki berbaju berwarna hitam dan berseluar pendek (mangsa) didapati berjalan di samping menggunakan telefon bimbit di hadapan premis itu sebelum dihampiri lelaki bertopi keledar itu.
Lelaki berkenaan yang bertopeng muka turut dilihat melepaskan tembakan terhadap mangsa hingga mengakibatkan mangsa rebah dan suspek kemudian melarikan diri. Ketika kejadian itu mangsa dikatakan sedang makan bersama rakannya, sebelum maut ditembak penyerang bersenjata. Seorang pengunjung lokasi kejadian berkata beliau terkejut mendengar bunyi bising dan awalnya menjangka ia bunyi mercun. “Kami terkejut melihat sebuah motosikal memecut dari tempat berkenaan dan melihat seorang lelaki terbaring di lantai di hadapan restoran berkenaan,” katanya.
Sumber: Kopipes Berita Harian
|