|
Antara barang rampasan berkaitan dua kes dadah di Johor Bahru dan Batu Pahat. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Johor Bahru: Polis Johor menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang menggunakan aplikasi media sosial bagi menjual bahan terlarang itu selepas menahan lapan suspek dalam beberapa serbuan di daerah ini.
Modus operandi sindiket yang dipercayai aktif sejak Mac lalu itu turut menggunakan botol minuman berjenama terkenal yang diisi dengan dadah berbentuk cecair sebelum dipasarkan bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar berkata, pihaknya menahan lapan individu terdiri daripada lima lelaki tempatan, dua wanita tempatan dan seorang wanita warga asing dalam empat serbuan yang dilakukan antara jam 12 tengah hari, 25 Jun hingga 3.20 petang, 26 Jun lalu.
Beliau berkata, semua suspek termasuk dalang sindiket itu yang berusia antara 19 hingga 67 tahun itu ditahan bersama sejumlah dadah di beberapa rumah yang disewa sindiket itu di sekitar daerah ini.
"Sindiket menggunakan aplikasi media sosial untuk mencari pelanggan dan mereka yang ingin membeli akan menghubungi mereka melalui aplikasi berkenaan sebelum melakukan urusan jual beli.
"Selain itu, mereka turut menjadikan kondominium berpagar dan berpengawal sebagai tempat pembungkusan dan stor simpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
"Bagi tujuan penghantaran pula, sindiket akan meninggalkan dadah di sesuatu lokasi yang dipersetujui untuk diambil sendiri oleh pembeli," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Dalam semua serbuan itu, Kumar berkata, sejumlah dadah yang dianggarkan bernilai RM926,644.72 berjaya dirampas selain dua kereta dan wang tunai berjumlah RM13,638 disita.
Katanya, dadah yang dirampas adalah 10.65 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 914.2 gram ketamin, 118 pil ekstasi, 100 biji pil erimin 5, 5.85 liter cecair ekstasi serta 8.3 gram ganja.
"Semua dadah ini boleh digunakan oleh 59,797 orang penagih," katanya.
Kumar berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lima daripada suspek yang ditangkap positif dadah methamphetamine dan ketamin, manakala hasil semakan rekod lampau juga mendapati empat daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
"Semua suspek kini direman tujuh hari bermula kelmarin hingga 2 Julai," katanya operasi masih berterusan bagi mencari saki baki ahli sindiket berkenaan.
Pada masa sama, Kumar menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam menggunakan aplikasi media sosial terutamanya anak muda.
"Ibu bapa perlu memainkan peranan memantau aktiviti anak-anak ketika mereka melayari aplikasi media sosial, manakala orang dewasa diingatkan supaya menggunakan media sosial dengan lebih bertanggungjawab," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ah-8-suspek-ditahan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|